Perbicaraan ekstradisi bekas pemain bola sepak Bahrain ditetapkan April depan

Hakeem al-Araibi tiba di Mahkamah Jenayah Bangkok hari ini bagi mendengar kes ekstradisinya. - Foto Reuters
Hakeem al-Araibi tiba di Mahkamah Jenayah Bangkok hari ini bagi mendengar kes ekstradisinya. - Foto Reuters
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Bekas pemain bola sepak Bahrain, Hakeem al-Araibi yang melarikan diri dari negara Timur Tengah berkenaan susulan penindasan politik, terpaksa meringkuk sekurang-kurangnya dua bulan lagi dalam penjara di Thailand, ekoran perbicaraan ekstradisinya ditetapkan pada April depan.

Mahkamah memberikan pihak pembelaan sehingga 5 April depan untuk mengemukakan dokumen menentang permintaan ekstradisi berkenaan, dan menetapkan 22 April sebagai tarikh pendengaran awal saksi dan bukti.

"Kami mempunyai bukti yang menunjukkan Hakeem al-Araibi tidak seharusnya dihantar pulang ke Bahrain," kata peguam bela,Nadthasiri Bergman.

Pemain bola sepak itu meninggalkan Bahrain pada 2014 selepas didapati bersalah melakukan vandalisma di sebuah balai polis dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun secara'in absentia', beliau bagaimanapun menafikan melakukan kesalahan tersebut.

Al-Araibi kemudian mendapat status pelarian di Australia, namun, atas permintaan Bahrain, beliau ditahan November lalu ketika berbulan madu di Thailand.

Kes Al-Araibi yang juga pemain bola sepak pasukan Pascoe Vale di Melbourne, turut menarik perhatian Perdana Menteri Australia Scott Morrison dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA), Fatma Samoura yang menuntut pembebasan al-Araibi.

Mereka mendesak agar Al-Araibi dihantar pulang ke Australia atas alasan beliau akan diseksa sekiranya dihantar ke Bahrain yang menuntut ekstradisi terhadap pemain terbabit yang didakwa telah melakukan kesalahan jenayah.

Ketibaan Al-Araibi di Mahkamah Jenayah Bangkok hari ini, disambut duta ditetapkan Australia ke Thailand, Allan McKinnon dan diplomat dari sekurang-kurangnya 13 negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu,Timbalan Menteri Luar Virasakdi Futrakul menegaskan, badan kehakiman Thailand akan membuat keputusan berhubung kes Al-Araibi dan menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Thailand dipergunakan Bahrain. - Reuters