X

Kindly register in order to view this article
!

[EKSKLUSIF] UMNO bentuk kerajaan dengan Amanah jika...

Saarani dan Shahrul Zaman disebut-sebut sebagai MB Perak baharu.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] UMNO Perak bersedia bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi membentuk kerajaan baharu Perak sekiranya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enggan menyokong pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sebagai calon Menteri Besar Perak baharu kelak.

Seorang ADUN UMNO enggan dikenali berkata, susulan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disahkan hilang sokongan majoriti, satu pertemuan mengejut diadakan dalam kalangan 25 ADUN UMNO pada 2.30 petang tadi bagi menentukan calon Menteri Besar baharu dan hala tuju parti itu selepas ini.

Hasil pertemuan itu, ADUN UMNO berkenaan mendedahkan kesemua ADUN UMNO bersetuju untuk menamakan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai calon Menteri Besar baharu.

"Bagaimanapun, kesemua kami menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan baginda Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah untuk memilih calon Menteri Besar baharu yang bersesuaian.

"Terdapat juga nama-nama lain yang dibangkitkan sebagai calon Menteri Besar baharu seperti ADUN Rungkup (Datuk Shahrul Zaman Yahya), namun segalanya kami serahkan kepada baginda Tuanku untuk membuat keputusan terbaik," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ADUN UMNO berkenaan turut menjelaskan faktor kemungkinan UMNO bekerjasama dengan Amanah adalah persediaan alternatif hanya sekiranya Bersatu dan Pas membuat keputusan tidak lagi menyokong sebarang langkah politik susulan UMNO negeri itu.

Menurutnya, dengan jumlah sokongan ADUN daripada UMNO seramai 25 orang ditambah enam orang ADUN daripada Amanah, gabungan UMNO dan Amanah akan memiliki majoriti mudah membentuk kerajaan dengan jumlah 31 kerusi DUN.

"Kami masih mengharapkan formasi kerajaan lama terdiri UMNO, Pas dan Bersatu akan kekal dengan proses transisi pertukaran jawatan MB Perak sahaja akan berlaku selepas ini.

"Berdasarkan keadaan semasa, empat ADUN Bersatu termasuk Peja (Ahmad Faizal), besar kemungkinan akan terus menyokong kerajaan sedia yang bakal diterajui UMNO dengan tiga kerusi Exco diperuntukkan kepada Bersatu mungkin dikekalkan.

"Cuma pendirian sebenar tiga wakil rakyat Pas yang masih belum jelas sama ada akan terus menyokong kerajaan dipimpin UMNO kelak atau tidak. Jika mereka terus sokong, maka kuota jawatan Exco diperuntukkan kepada ketiga-tiga mereka juga akan dikekalkan," katanya.

Sumber terdekat UMNO Perak itu turut memberi jaminan proses pelantikan jawatan Menteri Besar Perak dan Exco Kerajaan Negeri baharu akan dilaksanakan secepat mungkin, selewat-lewatnya sebelum Rabu minggu hadapan.

"Proses itu perlu dilaksanakan dengan segera kerana persidangan DUN Perak yang akan disambung semula pada Rabu minggu hadapan adalah berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan Negeri Perak," katanya.

Sementara itu, satu sumber DAP mendedahkan komposisi penyertaan ADUN parti-parti yang menolak kepimpinan Ahmad Faizal adalah berjumlah 48 orang merangkumi 24 ADUN UMNO dan 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) terdiri DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah.

Menurutnya, sekiranya parti-parti yang terlibat pembentangan usul menolak Ahmad Faizal bekerjasama membentuk kerajaan baharu, ia bakal merangkumi sejumlah 48 kerusi DUN, mewakili majoriti dua pertiga daripada keseluruhan 59 kerusi DUN Perak.

"Kalau dia (UMNO) hendak ambil serpihan kerajaan lama (Perikatan Nasional), mereka (parti-parti berkenaan) terdiri orang yang menikam UMNO daripada belakang, termasuk menikam PH.

"Sejak 10 tahun lepas, tidak ada parti di Perak yang mendapat majoriti dua pertiga (membentuk kerajaan).

"Tetapi dalam pembentangan usul ini (usul percaya kepimpinan Ahmad Faizal), (sokongan semua parti menolak Ahmad Faizal) sudah ada majoriti dua pertiga. Justeru, formula pembentukan kerajaan baharu adalah di tangan pucuk pimpinan parti masing-masing," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, setakat ini, tiada seorang ADUN DAP yang diajak bekerjasama dengan UMNO.

"Kita serahkan kepada pucuk kepimpinan parti di peringkat pusat untuk membuat keputusan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu disahkan hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi berkecuali menerusi undi belah bahagi.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menerima usul berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tidak sertai pembentukan kerajaan baharu Perak

[EKSKLUSIF] ADUN UMNO antara 10 wakil rakyat sokong Peja?

MB Perak hilang sokongan majoriti


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!