Pemimpin BN tidak gembira perkembangan di Perak

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hari ini menyatakan rasa tidak gembira dengan perkembangan yang berlaku di Perak malah dukacita jika orang Melayu berpecah.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut mendedahkan bahawa pemimpin UMNO juga tidak berpeluang untuk berbincang mengenainya di peringkat Biro Politik atau Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Sejujurnya, saya tidak gembira dengan apa yang berlaku di Perak. Kita tidak berpeluang berbincang terlebih awal di peringkat Biro Politik atau MKT (UMNO).

"Saya berdoa agar perjuangan yang seharusnya mengutamakan solidariti dan perpaduan ummah, tidak terjejas. Saya dukacita jika orang Melayu berpecah," ciapnya di Twitternya hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tersingkir menerusi usul percaya apabila hilang sokongan majoriti wakil rakyat, termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menerima usul berkenaan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti

'Kejatuhan PN Perak satu kemenangan'

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan pada tengah hari tadi memaklumkan parti itu akan mengadakan perbincangan khas berhubung kemelut yang melanda politik Perak membabitkan Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu itu.

"Perkara ini insya-ALLAH akan dibincangkan pimpinan Bersatu dan saya harap kita sama-sama tunggu pandangan rasmi parti nanti," katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya hari ini.