Bantuan B40: Matawang sosial boleh ganti wang ringgit

DR AMIR. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib
DR AMIR. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep matawang sosial berpotensi untuk digunakan sebagai ganti kepada wang ringgit dalam pemberian bantuan kerajaan kepada golongan B40 di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Profesor Madya Dr Amir Shaharuddin berkata, konsep itu boleh diguna pakai kerana kemampuan kerajaan untuk terus menyediakan bantuan dalam bentuk wang ringgit kepada golongan B40 mungkin akan terbatas pada masa hadapan.

Justeru, katanya, matawang sosial itu sangat ideal untuk diaplikasikan dalam pelbagai bentuk termasuk aspek pembiayaan pendidikan anak-anak dari kelompok keluarga berpendapatan rendah.

"Contohnya ada anak-anak B40 pada masa depan perlu masuk universiti dan perlu pembiayaan untuk bayar yuran. Jadi kita boleh libatkan mereka dalam kesukarelawan.

"Daripada situ mereka boleh kutip 'point' (mata ganjaran) dan ia dikumpulkan seterusnya boleh jadi satu kredit untuk membayar yuran mereka di universiti nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 34 bertajuk 'Matawang sosial: Evolusi Ekonomi Baharu' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian semalam.

Wacana itu turut menampilkan panelis Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Johan Tilawah Asia di Brunei 2015 dan Thailand 2016, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur sebagai qari jemputan yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Qasas Ayat 27 hingga 28.

Dr Amir memberitahu, sekiranya sistem matawang sosial itu boleh dibina dan diterapkan di mana sumbangan khidmat sosial diberikan ganjaran dalam bentuk matawang sosial, badan-badan yang memberi pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada masa akan datang juga sudah tidak diperlukan lagi.

Artikel Berkaitan:

"Perbincangan konsep matawang sosial ini bukan sekadar teori tetapi kita nak terjemahkannya ke praktikal kerana banyak kita boleh lihat contoh di negara Barat.

"Di Barat mereka dah lama mulakan idea ini contohnya bila mereka nak menggalakkan masyarakat mereka amalkan kitar semula, orang yang kutip tin terpakai boleh dapatkan 'coin' atau token untuk menggunakan perkhidmatan bas.

"Jadi tak perlu mereka gunakan wang biasa untuk naik bas awam. Bayangkan kalau perkara sama dipraktikkan di negara kita, pelajar sekolah dan remaja sama-sama amalkan kitar semula dan mereka dapat ganjaran," katanya.