Bayaran faedah kematian Allahyarham Mohd Zahir selesai

Dzulkarnain mengulas isu berhubung kenyataan akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Cucu Badul Tiada Pembelaan' di Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Menara TH hari ini.
 -Foto Bernama
Dzulkarnain mengulas isu berhubung kenyataan akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Cucu Badul Tiada Pembelaan' di Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Menara TH hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyelesaikan semua bayaran faedah kematian pegawai komando Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya kepada semua warisnya yang layak.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, faedah itu diserahkan kepada dua anak kandung Allahyarham iaitu Mohamad Remy Iskandar, 9, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 10, hasil pernikahan Mohd Zahir dengan bekas isterinya, Jamilah Ismail, 38.

Beliau berkata, dua anak arwah menerima bayaran sekali beri Ganjaran Terbitan dan Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) berjumlah RM32,923 yang dibuat pada Oktober tahun lepas.

“Kedua-dua anak Allahyarham juga menerima bayaran bulanan Pencen Terbitan, Pencen Orang Tanggungan dan Ex Gratia Orang Tanggungan (EXOT) sebanyak RM 1,663.43 bermula November 2019,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas JHEV, di sini hari.

Beliau berkata, JHEV dan Kementerian Pertahanan memandang serius kenyataan yang mengatakan dua anak Allahyarham terabai dan tidak mendapat pembelaan ATM yang disiarkan dalam akhbar semalam.

“JHEV dan ATM sentiasa berusaha memenuhi hak setiap peringkat veteran ATM serta orang tanggungan mereka bagi anggota ATM yang telah menamatkan perkhidmatan, bersara mahupun meninggal dunia berdasarkan peraturan sedia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Rekod dan Pencen ATM Mejar Jeneral Datuk Nazri Abu Bakar berkata, tiada keperluan bagi jabatan itu untuk berbincang dengan bapa Allahyarham, Armaya Aman Ramlie, 71, yang lebih dikenali sebagai A R Badul mengenai pertikaian pembahagian faedah kematian mahupun hadiah daripada individu lain serta insurans Allahyarham.

"Dari segi bayaran faedah kematian Allahyarham, itu adalah berdasarkan peraturan (yang ditetapkan ATM).

Artikel Berkaitan:

"Kalau dimaksudkan pemberian atau hadiah daripada individu dan insurans, perkara itu juga tidak dibincangkan kerana ia di luar bidang kuasa ATM...itu perlu dibincangkan dengan keluarga," katanya.

A R Badul sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menuntut haknya selepas kematian Allahyarham dan mendakwa haknya sebagai seorang bapa seolah-olah dinafikan.

Dzulkarnain berkata, selain Jamilah, turut menerima faedah kematian Allahyarham ialah ibu beliau Rusunjan Mohammad, 58, dan balu beliau Nour Shafinar Harun, 32.

“Rusunjan menerima bayaran sekali beri Ganjaran Terbitan berjumlah RM16,029 pada Mac lalu dan bayaran bulanan Pencen Terbitan dan Pencen Orang Tanggungan berjumlah RM 1,253 mulai April 2020.

“Nour Shafinar menerima bayaran sekali beri Ganjaran Terbitan dan FGCR berjumlah RM 91,983.73 pada Oktober tahun lalu dan bayaran bulanan Pencen Terbitan, Pencen Orang Tanggungan dan EXOT berjumlah RM 5,416 mulai bulan November 2019.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada 4 Sept 2019 selepas terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah. - Bernama