Atasi jurang harga untuk hentikan pasaran gelap tembakau

Tindakan mengetatkan penguatkuasaan semata-mata tidak dapat menghentikan aktiviti penyeludupan kontraban secara total. Gambar kecil: Health Michael
Tindakan mengetatkan penguatkuasaan semata-mata tidak dapat menghentikan aktiviti penyeludupan kontraban secara total. Gambar kecil: Health Michael
A
A
A

[DIKEMASKINI] KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan yang serius dan beberapa langkah yang diperlukan untuk mengekang pasaran gelap tembakau dalam Belanjawan 2021 termasuklah mengetatkan aspek penguatkuasaan.

Bagaimanapun, tindakan mengetatkan penguatkuasaan semata-mata tidak dapat menghentikan aktiviti penyeludupan kontraban secara total sekiranya cukai rokok tembakau yang dikenakan masih terlalu tinggi.

Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Perdagangan (RTBA), Health Michael berkata, semakin ramai perokok yang beralih kepada produk haram sebagai alternatif yang lebih murah daripada rokok sah yang dikenakan cukai tinggi.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Persekutuan Polis Australia juga bersetuju bahawa kadar cukai produk tembakau yang tinggi mendorong permintaan untuk alternatif yang lebih murah iaitu rokok seludup.

“Untuk memastikan aktiviti pasaran gelap tembakau ini, RTBA mengesyorkan agar kerajaan Malaysia menutup jurang harga antara rokok sah dan rokok haram yang boleh mencapai faktor tiga dan empat di Malaysia,” katanya hari ini.

Beliau berkata, ada banyak cara untuk mengatasi jurang harga rokok haram berbanding yang sah, termasuk strategi memperkenalkan produk dengan harga yang menyasarkan pengguna pasaran gelap yang telah berjaya dilakukan di beberapa negara.

"Untuk mencapai penyelesaian optimum yang menangani aspek penawaran dan permintaan pasaran gelap tembakau, rasional dan pemikiran inovatif diperlukan. Akhirnya, rakyat Malaysia mampu mencapai matlamat agenda kesihatan nasional dan dilindungi daripada kesan negatif akibat perdagangan rokok haram,” katanya.

Michael berkata, Australia sebelum ini mendapati melaksanakan penguatkuasaan yang tegas dan ketat sahaja masih tidak mencukupi untuk menghentikan aktiviti penyeludupan rokok haram di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kadar cukai produk tembakau yang tinggi boleh mendorong permintaan untuk alternatif yang lebih murah iaitu rokok seludup.
Kadar cukai produk tembakau yang tinggi boleh mendorong permintaan untuk alternatif yang lebih murah iaitu rokok seludup.

Laporan Jawatankuasa Bersama Parlimen mengenai Penguatkuasaan Undang-undang di Pasar Tembakau Haram Australia mendapati pendekatan Australia yang fokus kepada polisi harga menyebabkan semakin ramai yang beralih kepada produk haram sebagai alternatif yang lebih murah.

Memorandum tersebut menjelaskan mengenai pindaan perundangan 2018 menyatakan bahawa cukai yang lebih tinggi dan kadar cukai duti eksais untuk tembakau mengikut Belanjawan 2016/17 dan 2017/18 telah meningkatkan risiko pengeluaran tembakau haram atau diseludup masuk ke negara Australia.

“Akibatnya, pasaran gelap tembakau di Australia telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan. Pada tahun 2018 hingga 2019, sejumlah 633 tan tembakau haram disita, tertinggi sepanjang masa,” kata Michael.

Beliau berkata, organisasi jenayah khususnya penyeludup rokok tembakau akan diberi insentif untuk terlibat dalam perniagaan yang mempunyai margin keuntungan tinggi itu.

“Sindiket penjenayah sangat pintar untuk mengelakkan usaha penguatkuasaan. Sekiranya ada kehendak, ada cara. Kami meramalkan bahawa penjenayah ini akan berpindah ke saluran lain untuk menyeludup rokok dengan cepat ke Malaysia dan mengeksportnya semula ke negara lain,” katanya.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Euromonitor International, Malaysia berada di kedudukan teratas penyeludupan rokok dunia iaitu sebanyak 63 peratus. Aktiviti penyeludupan ini mencatatkan peningkatan ketara mulai tahun 2015.

Kebanjiran rokok tidak sah di pasaran tempatan menyebabkan negara kerugian cukai antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun. Nilai RM5 bilion hingga RM6 bilion ini bukanlah kecil, pada ketika ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan perlahan ketika ini.

Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2021, kerajaan mengenakan langkah membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu, mengetatkan pembaharuan lesen import rokok dan mengehadkan aktiviti penghantaran rokok kepada pelabuhan tertentu.