Walau banjir wajib patuh SOP

Shafien beramah mesra dengan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS SK Tiong, Kota Bharu hari ini.
Shafien beramah mesra dengan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS SK Tiong, Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Meskipun berada di musim banjir, Polis Kelantan mengingatkan rakyat negeri ini wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan oleh kerajaan ketika negeri masih dilanda Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, seperti yang sudah diuar-uarkan sebelum ini, masyarakat perlu bersedia mematuhi SOP dan hidup dalam normal baharu terutamanya mangsa dan penduduk di kawasan banjir.

"SOP yang ditetapkan harus dipatuhi dan sebelum ini kerajaan sudah tetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan tiga orang untuk satu kereta maka ia perlu kekal begitu.

"Itu yang telah ditetapkan dan sekiranya naik lebih daripada tiga orang atau sebagainya dikira melanggar SOP, kalau kena ambil tindakan jangan marah kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat Kelantan juga dinasihatkan untuk tidak bermain banjir sama ada dengan menggunakan kenderaan atau berkumpul di kawasan bah.

Katanya, tindakan itu merupakan satu kesalahan dan melanggar SOP ketika pandemik Covid-19.

"Nasihat saya sebagai Ketua Polis Negeri, banjir tahun ini tidak seperti sebelum ini yang rakyat boleh suka-suka bermain air, kerana kita perlu patuh sepenuhnya arahan kerajaan.

"Rakyat Kelantan berdisiplin dan bagus, jadi tunjukkan nilai itu kepada masyarakat luar dan sehingga hari ini belum ada saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kepada mereka yang bermain banjir secara berkumpulan.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang, bila dengar sahaja bunyi siren, mereka sudah bersurai dan penjarakkan fizikal satu meter pun sudah ramai yang patuh," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, penduduk yang tinggal di kawasan terjejas banjir perlu ikut arahan untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Katanya, masyarakat tidak perlu risau kerana pelbagai kemudahan disediakan kepada mangsa banjir agar mereka rasa selesa untuk tinggal di situ.

“Anak-anak yang perlu belajar dalam talian juga tidak perlu bimbang kerana talian internet disediakan. Mangsa banjir hanya perlu datang bawa laptop atau telefon sahaja untuk belajar," katanya.