Semangat baharu Harimau Malaya

Jersi baharu Harimau Malaya
Jersi baharu Harimau Malaya
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya bagaikan mendapat semangat baharu selepas pengeluar jenama sukan terkenal dunia, Nike Malaysia melancarkan jersi baharu skuad kebangsaan sebentar tadi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jersi 'home' yang baharu itu biarpun ringkas, namun tampak lebih kemas dengan reka bentuk berkolar manakala pemilihan warna baharu bagi jersi 'away' pula akan memastikan semangat Harimau Malaya kekal membara.

"Pasukan Harimau Malaya pasti akan lebih garang selepas ini kerana bukan saja jersi 'home', malah jersi 'away' juga menampilkan warna tradisi kita iaitu hitam dan kuning. Ini bermakna, dalam kesemua aksi pasukan kebangsaan nanti, semangat dan aura Harimau Malaya akan sentiasa bersama para pemain dan penyokong.

"Saya yakin apabila para pemain memakainya nanti, mereka akan mendapat semangat baharu untuk tampil dengan aksi yang lebih bertenaga di atas padang, seterusnya meraih lebih banyak kemenangan dan kejayaan buat pasukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

"Terima kasih juga kepada Nike yang masih terus bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 13 tahun ini (sejak 2007)," katanya.

Pengenalan jersi baharu itu turut menyaksikan buat pertama kalinya sejak 2007, jersi utama atau jersi 'home' tampil dengan reka bentuk berkolar.

Jersi kedua atau jersi 'away' Malaysia 2020-2022 turut menampilkan kelainan apabila buat pertama kalinya tiada warna biru, putih atau merah seperti kebiasaan sebelum ini.

Majlis pelancaran berlangsung secara maya menerusi video pengenalan jersi berkenaan yang disiarkan serentak di kesemua platform media sosial rasmi FAM.

Artikel Berkaitan:

Sebagai simbolik pelancaran jersi baharu ini, Hamidin menjadi individu pertama yang menerima kedua-dua jersi 'home' dan jersi 'away' Malaysia 2020-2022 daripada Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues di Wisma FAM, Kelana Jaya pagi tadi.

Tanpa sebarang aksi sepanjang tahun 2020 ini, skuad Harimau Malaya yang kini di kedudukan 153 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking FIFA akan kembali meneruskan saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh sebelum ini pada Mac 2021 serta saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang ditunda ke April dan Mei 2021.

Jersi baharu pasukan kebangsaan Malaysia 2020-2022 ini sudah boleh didapati mulai hari ini di outlet Nike terpilih serta secara dalam talian di www.nike.com/my dan www.al-ikhsan.com manakala penjualan secara fizikal di 24 outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan semua outlet Football Republic di seluruh negara pula akan bermula pada 11 Disember 2020 dengan jersi 'home' dan 'away' ini, masing-masing dijual pada harga RM299.