Chang Khim banyak ajar saya, kata Hannah

Gambar kenangan Hannah bersama Chang Khim sewaktu memegang jawatan Speaker DUN Selangor selepas PRU13.
Gambar kenangan Hannah bersama Chang Khim sewaktu memegang jawatan Speaker DUN Selangor selepas PRU13.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan penghujung zaman kegemilangan Selangor yang akan mengubah landskap politik negeri itu.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, Chang Khim yang pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor disifatkan sebagai seorang yang suka berterus-terang dan telah mengangkat tahap perbahasan serta prestasi anggota Dewan ke tahap yang tinggi.

Menurutnya, Chang Khim merupakan individu penting yang banyak mengajarnya mengenai politik dan juga pentadbiran Selangor ketika dirinya menyandang jawatan ADUN Subang Jaya.

"Sejurus sahaja saya diumumkan sebagai calon untuk DUN Subang Jaya pada PRU12 (2008), saya telah menerima panggilan telefon daripadanya yang menawarkan diri untuk berucap dalam kempen ceramah saya.

"Kali pertama bertemunya, saya terpukau dengan ucapannya yang bersemangat dan berapi-api. Ketika itu juga beliau menawarkan diri untuk mengajar saya bahasa Mandarin kerana ada yang menyuarakan keprihatinan mereka akan kelemahan saya dalam bahasa tersebut, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah berkata, selepas 12 tahun berlalu, Chang Khim belum sempat mengajarnya bahasa Mandarin namun telah mendidiknya dengan pelbagai perkara yang lain.

"Antaranya menawarkan kekosongan di Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) selepas ADUN Bukit Gasing, Edward Lee meninggal dunia pada 2008 walaupun itu adalah penggal pertama saya sebagai ADUN," katanya.

Hannah berkata, Chang Khim merupakan individu penting yang membimbingnya ketika dirinya dilantik sebagai Speaker DUN selepas PRU13 (2013) yang menjadikannya wanita pertama dan Speaker termuda di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Untuk saya duduk di kerusi Speaker dan berhadapan dengan pendahulu saya di bangku eksekutif bukanlah satu tugas yang mudah.

"Setiap kali saya melihat Chang Khim menyemak buku Peraturan Tetap, saya akan mengambil perhatian yang lebih serius terhadap prosiding yang sedang berjalan. Ini membantu saya menjadi lebih cekap dan ia adalah perkara yang terbaik buat saya," katanya.

Katanya, Chang Khim telah melakukan perbezaan yang besar kepada Selangor dan pengalaman serta sumbangannya di Selangor sukar ditandingi.

"Dalam politik, kadang-kadang anda tidak dapat bersetuju dengan semua yang diperkatakan atau dilakukan oleh pemimpin anda, namun apa yang pasti, beliau telah berkhidmat kepada partinya, DAP dengan taat setia.

"Beliau yang bertukar daripada Ketua Pembangkang kemudian menjadi Speaker DUN Selangor dan kini akan bersara sebagai Exco Negeri Selangor. Saya percaya beliau satu-satunya ahli politik di Malaysia yang memainkan ketiga-tiga peranan ini dengan begitu baik.

"Kini, segala-galanya telah lengkap sepenuhnya. Tak ramai ahli politik yang akan melangkah pergi ketika mereka berada di puncak kekuasaan. Beliau melakukannya dan sekali lagi beliau telah mengangkat satu lagi tahap di Selangor untuk DAP," katanya.

Semalam, Chang Khim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memberi bayangan akan mengundurkan diri dalam dunia politik selepas pembubaran DUN Selangor nanti.

Beliau juga berkata, dirinya akan bersara setelah hampir 25 tahun berkhidmat kepada masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Teng Chang Khim umum bakal undur dunia politik