Penjual keropok lekor langgar polis dijel

Samsuri (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan halang tugas, melanggar anggota polis dan mengambil dadah.
Samsuri (tiga dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan halang tugas, melanggar anggota polis dan mengambil dadah.
A
A
A

KAJANG - Padah halang tugas, melanggar anggota polis dan mengambil dadah, seorang penjual keropok lekor dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Samsuri Elias, 44, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman masing-masing enam bulan bagi kesalahan tidak memberi kerjasama dan menyebabkan kecederaan kepada anggota polis.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak bermula hari ini.

Sementara bagi pertuduhan memasukkan dadah dalam badan, tertuduh dihukum penjara tiga bulan dan ia berjalan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang hadir dengan memakai baju T berwarna kelabu didakwa didapati dengan sengaja enggan kerjasama kepada Raja Mohd Ali Omar Akasyah Raja Sulaiman iaitu seorang penjawat awam, di tempat letak kereta Taman Sri Reko, di sini pada jam 11.30 malam, 30 November lalu.

Atas pertuduhan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohd Haslizan Hashim, dilokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 332 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah jenis morfin, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Kajang pada 7 Februari 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman ringan atas alasan perlu menyara isteri, dua anak dan adik-beradik.

“Saya sudah insaf dan merayu agar Yang Arif menjatuhkan hukuman serentak bagi kesemua pertuduhan," katanya.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman mencadangkan tertuduh diberi hukuman dalam bentuk pengajaran kerana dalam kes ini, dia bertindak menghalang tugas dan menyebabkan kecederaan pada anggota polis.

“Tertuduh juga seorang suspek yang dikehendaki polis bagi kes dadah sejak 2018 dan pihak pendakwaan mohon hukuman dijalankan secara berasingan,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian beberapa anggota polis melakukan rondaan, ternampak kereta Proton Iswara yang dinaiki tertuduh dalam keadaan mencurigakan.

Ketika anggota polis berhenti untuk melakukan pemeriksaan terhadap kereta tersebut, tertuduh enggan memberikan kerjasama dan bertindak melarikan diri sehingga melanggar salah seorang anggota polis.