Hujahan akhir kes rasuah Isa Samad pada 24 Disember

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hujahan akhir kes rasuah bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad yang menghadapi sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), akan didengar pada 24 Disember ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam, Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd Isa berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai tarikh baharu itu menerusi e-mel yang diterima daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som, pada 2 Disember lepas.

"Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar hujahan akhir kedua-dua pihak di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, namun prosiding dilapangkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sementara itu, Mahyudin ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu.

Lebih 300 muka surat hujahan bertulis telah diserahkan oleh pasukan pembelaan dan pendakwaan kepada mahkamah.

Pada 3 September lepas, pihak pembelaan yang mewakili Mohd Isa menutup kesnya selepas memanggil enam saksi.

Pada 16 Jun lepas, Mohd Isa diperintah membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan setiap unsur penting kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mohd Isa, 71, berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas politik Mohd Isa, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Artikel Berkaitan:

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama