Biden minta Fauci terus berkhidmat

Joe Biden. - Foto AFP
Joe Biden. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Kamis meminta Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Negara Dr. Anthony Fauci untuk terus berkhidmat dengan pentadbirannya, lapor Agensi Anadolu.

"Saya memintanya terus berkhidmat seperti yang dilakukannya di bawah pentadbiran beberapa presiden lain sebelum ini, dan saya juga meminta beliau menjadi ketua penasihat perubatan saya, dan menjadi sebahagian daripada pasukan Covid-19," kata Biden kepada CNN.

Fauci dilaporkan ada mengadakan perbincangan dengan Biden dan pasukan peralihannya pada Khamis petang. Beliau turut mengadakan perbincangan awal dengan pembantu Biden, termasuk Ron Klain, yang dilantik sebagai ketua staf Rumah Putih.

Fauci telah memimpin Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Nasional sejak 1984 dan berkhidmat di bawah enam presiden AS.

Pada Januari, beliau dipilih menganggotai pasukan petugas Covid-19, Presiden Donald Trump yang dibentuk untuk memantau, membendung, dan mengurangi penyebaran virus.

Fauci dan Trump bertentangan pendapat mengenai tindak balas terhadap penyakit ini, beliau berulang kali mendesak rakyat Amerika supaya duduk di rumah dan memakai pelitup muka.

Berita itu muncul ketika AS terus mencatatkan peningkatan kes dan kemasukan ke hospital.

Sementara itu, dua vaksin percubaan masih menunggu kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS untuk kebenaran penggunaan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Firma bioteknologi AS Moderna merancang untuk menyediakan 20 juta dos pada akhir tahun ini, dan ia mahu menghasilkan 500 juta hingga 1 bilion dos secara global pada 2021.

Pentadbiran Trump memesan 100 juta dos dari firma farmasi Amerika Pfizer dan rakan kongsinya dari Jerman, BioNTech, sebagai sebahagian daripada Operasi Warp Speed ​​untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kepada rakyat Amerika. - Bernama