Lebih 40 transaksi ke akaun ‘keldai’, peniaga rugi RM44,000

Seorang peniaga wanita rugi RM44,000 diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.
Seorang peniaga wanita rugi RM44,000 diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga akhirnya menyedari ditipu sindiket penipuan pinjaman tidak wujud selepas lebih 40 transaksi bank dilakukan ke akaun ‘keldai’ membabitkan kerugian berjumlah RM44,000.

Wanita yang berusia 30-an itu dalam proses urusan transaksi seterusnya berjumlah RM8,000 sebelum menyedari kejadian sebenar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kormersial, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, pada Oktober lalu, mangsa berhubung dengan suspek yang menyamar dari syarikat pinjaman wang secara dalam talian menerusi Facebook dan menekan link ke aplikasi WhatsApp.

“Dia berminat meminjam RM50,000 dengan pembayaran balik RM500 setiap bulan selama 10 tahun.

“Selesai perbincangan, mangsa menghantar gambar dokumen pengenalan diri, penyata akaun bank dan membayar RM300 sebagai wang proses pada 27 Oktober lalu, namun diarah menambah bayaran RM1,010 ke satu akaun bank milik individu berbeza dan menurutinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Azizul Mohamed
Ahmad Azizul Mohamed

Beliau berkata, mangsa selepas itu diminta membuat bayaran berulang konon sebagai proses 'balancing' bagi membolehkannya menerima wang pinjaman bersama-sama yang sudah dibayar iaitu syarikat akan mendepositkan RM100,000 ke akaun bank mangsa.

“Sehingga 30 November lalu, wanita berkenaan membuat lebih daripada 40 transaksi ke 15 akaun bank milik individu berbeza dengan jumlah kerugian RM44,000.

Artikel Berkaitan:

“Dia tersedar ditipu setelah ingin meminjam wang daripada saudaranya bagi membuat bayaran sebanyak RM8,000 lagi seperti diminta suspek,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi kes penipuan pinjaman tidak wujud secara dalam talian adalah antara kes jenayah siber yang kerap dilaporkan dan kebanyakannya menggunakan akaun-akaun bank milik keldai-keldai akaun.

“Justeru, Polis Kelantan menasihatkan orang ramai supaya meminjam di institusi perbankan dan kewangan dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sahaja atau syarikat berdaftar di bawah Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Boleh semak menerusi i-KrediKom kerajaan Malaysia atau http//ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau di aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara setahun sehingga 10 tahun dengan sebat dan denda.