Imigresen sasar 250,000 permohonan rekalibrasi

Khairul Dzaimee pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Khairul Dzaimee pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menyasarkan sehingga 250,000 permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sejak dilancarkan 16 November lalu, pihaknya telah menerima 478 permohonan daripada majikan untuk program Rekalibrasi Tenaga Kerja melibatkan 1980 pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kita sasarkan 200,000 hingga 250,000 permohonan sehingga kedua-dua program ini tamat 30 Jun depan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Khairul Dzaimee memaklumkan bahawa bermula 2 Disember 2020, semua permohonan tidak perlu lagi dihantar melalui emel tetapi sebaliknya hanya perlu dibuat melalui portal www.imi.gov.my.

Untuk kos bayaran program tersebut, beliau berkata, ia memerlukan wang cagaran sebanyak RM500 dan fi rekalibrasi sebanyak RM1,500 seorang.

“Sementara itu, levi yang dikenakan untuk sektor perkilangan dan pembinaan ialah RM1,850 dan bagi sektor perladangan dan pertanian ialah RM640.

“Kos bayaran di bawah program ini juga akan melibatkan pembayaran pas RM60, proses RM125 dan pembayaran visa mengikut warganegara,” katanya.

Pada masa sama, Khairul Dzaimee memaklumkan bahawa Imigresen bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah melakukan perjumpaan bersama kesemua 15 kedutaan negara yang warganegaranya terlibat dalam program tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dalam perjumpaan tersebut, mereka telah menyatakan sokongan dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas perlaksanaan program tersebut,” katanya.

Pelan Rekalibrasi yang bermula 16 November lalu sehingga 30 Jun tahun depan dilaksana bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Program Rekalibrasi Pulang membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula khas untuk membolehkan pekerja asing sedia ada di negara ini diambil bekerja secara sah oleh majikan.