X

Kindly register in order to view this article
!

2,790 kes demam denggi di Negeri Sembilan

Situasi semasa kes demam denggi di Negeri Sembilan sehingga 28 November. - Info grafik Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 2,790 kes demam denggi dicatatkan bagi seluruh Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga 28 November.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pada minggu ke-48 ini sebanyak 30 kes telah direkodkan berbanding minggu sebelumnya dengan 32 kes.

Menurutnya, daerah Seremban dan Tampin mencatatkan kes baharu, iaitu masing- masing dengan 25 serta lima kes demam denggi.

"Seremban merekodkan jumlah kumulatif kes tertinggi iaitu 2,391 kes, diikuti Port Dickson (88), Tampin (93), Jempol (76), Rembau (67) dan Kuala Pilah (25).

“Bagi minggu ke-48 ini, daerah Jelebu, Kuala Pilah, Jempol, Rembau dan Port Dickson tiada mencatatkan kes baharu," katanya kepada Sinar Harian.

S Veerapan
S Veerapan

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, tiada kematian terbaharu direkodkan akibat denggi pada minggu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sembilan orang.

Beliau berkata pihak berkuasa juga mengesan 10 lokaliti yang masih aktif di Seremban.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan diteruskan pada masa ini walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Aktiviti memusnahkan tempat pembiakan aedes masih lagi dilaksanakan dengan menyasarkan di premis kediaman serta kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

"Masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan di kawasan premis masing-masing selama 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat-tempat atau bekas-bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes, sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!