UM terima pengiktirafan kerajaan Jepun

Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya menerima anugerah penghargaan dari Kementerian Luar Negeri Jepun.
Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya menerima anugerah penghargaan dari Kementerian Luar Negeri Jepun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM) menerima anugerah penghargaan dari Kementerian Luar Negeri Jepun yang mengiktiraf usaha dan sumbangan UM terhadap negara itu termasuk mempromosi pendidikan bahasa Jepun di Malaysia.

Pejabat Komunikasi Korporat UM dalam kenyataan memaklumkan, kursus yang mula ditawarkan pada 1998 itu membolehkan pelajar membuat pengkhususan dalam pengajian bahasa Jepun dan dianugerahi ljazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Jepun setelah tamat pengajian.

UM turut menawarkan program pertukaran pelajar dengan universiti di Jepun serta peluang menjalani latihan industri di syarikat Jepun, baik di Malaysia mahupun di Jepun sebagai pendedahan kepada pelajar di samping memperkukuhkan hubungan antara dua negara.

Program pengajian bahasa Jepun itu adalah usaha bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik), Datuk Profesor Dr Osman Bakar dan bekas Dekan, Profesor Emeritus Dr Asmah Omar dengan objektif memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar sekali gus memperkayakan kehidupan mereka, rakan global serta komuniti sejagat.

Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor turut melahirkan rasa bangga dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diterima.

“Pengiktirafan ini adalah bukti sokongan padu daripada kerajaan Jepun atas komitmen berterusan UM. Saya berharap komitmen ini dapat diteruskan sebagai usaha memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, UM pernah menerima pengiktirafan daripada kerajaan Jepun pada 2017 atas usaha dan komitmen universiti itu dalam menyediakan program persediaan pengajian ke Jepun di bawah Ambang Asuhan Jepun (AAJ). - Bernama

Artikel Berkaitan: