Banjir: Dua warga emas kudung didukung bomba

Mangsa banjir Kampung Tiong, Aini yang kudung empat jari kaki kiri didukung Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, El Taraff Mohd Zachariah (dua dari kanan) bersama anggota dalam operasi pemindahan ke Pusat Permindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong bermula 4.22 petang hari ini.

A
A
A

KOTA BHARU - Dua warga emas kudung kaki didukung sejauh 50 meter oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dalam operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Tiong dan Kampung Rupek, di sini petang hari ini.

Mereka ialah Nik Hassan Nik Soh, 68, yang kudung kaki kanan separas paha manakala seorang lagi mangsa, Aini Ali, 60, kudung empat jari kaki kiri.

Nik Hassan berkata, hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan banjir sedalam semeter menyebabkan bomba datang menyelamatkannya, isteri, Che Saluma Saleh, 44, serta tiga anak mereka berusia 10 sehingga 23 tahun dengan menggunakan bot pada jam 4.30 petang tadi.

“Saya tidak dapat berjalan dan terpaksa didukung bomba sejauh 50 meter dari atas rumah menuju ke bot dan dibawa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong.

“Sejak dahulu kampung ini memang banjir dan saban tahun kami tetap akur berpindah bagi menggelakkan kejadian lebih buruk walaupun rumah sudah dibina lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di PPS SK Tiong, di sini hari ini.

Nik Hassan (dua dari kiri) yang kudung kaki kanan separas paha manakala seorang lagi mangsa,
Aini yang kudung empat jari kaki kiri (kanan) ditempatkan di PPS SK Tiong bersama 50 mangsa banjir dari Kampung Tiong dan Kampung Rupek, Kota Bharu.
Nik Hassan (dua dari kiri) yang kudung kaki kanan separas paha manakala seorang lagi mangsa, Aini yang kudung empat jari kaki kiri (kanan) ditempatkan di PPS SK Tiong bersama 50 mangsa banjir dari Kampung Tiong dan Kampung Rupek, Kota Bharu.

Aini pula berkata, itu pengalaman pertama dia didukung dalam banjir akibat tidak dapat berjalan kerana menjalani pembedahan membuang empat jari kaki kiri dua bulan lalu.

Katanya, kakinya itu pada mulanya berasa kebas sebelum dia terpijak air panas dan lama-kelamaan menjadi kehitaman sebelum dipotong oleh doktor bagi mengelak jangkitan kuman.

Artikel Berkaitan:

“Saya dipindahkan dengan bot bersama anak lelaki yang berusia 20 tahun kerana air sudah mencecah bahagian depan rumah.

“Dugaan buat saya, sakit dalam keadaan banjir seperti ini. Mujur ada anak yang menjaga dan saya berterima kasih kepada bomba yang bersusah-payah mendukung saya untuk dipindahkan ke tempat selamat,” katanya.

Nik Hassan (kanan) bersama isteri, Che Saluma Saleh, 44, menerima Kid Makanan Permulaan Banjir daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disampaikan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Kota Bharu, Leftenan Mohd Safiyan Ibrahim (kiri) dan Pengerusi Banjir Daerah Pendek, Mohd Syaqi Ahmad.

Sementara itu, Pengerusi Banjir Daerah Pendek, Mohd Syaqi Ahmad berkata, mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS SK Tiong terlebih dahulu akan menjalani saringan suhu sebagai prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

“Mangsa banjir yang demam dan bergejala, akan diasingkan ke bilik isolasi dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan, namun setakat ini belum ada rekod,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, El Taraff Mohd Zachariah berkata, operasi menyelamat mangsa banjir membabitkan 14 anggota BBP Pasir Tumboh danTunjong serta dua bot bermula jam 4.22 petang.

“Selain dua warga emas tersebut, sejumlah 17 kanak-kanak juga antara mangsa banjir yang dipindahkan dengan menggunakan bot.

“Setakat jam 9.30 malam ini, 50 mangsa banjir daripada 10 keluarga selamat dipindahkan ke PPS SK Tiong,” katanya.

Operasi menyelamat mangsa banjir oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di Kampung Tiong dan Kampung Rupek, Kota Bharu hari ini.
Operasi menyelamat mangsa banjir oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di Kampung Tiong dan Kampung Rupek, Kota Bharu hari ini.