Filem warna pembakar semangat

A
A
A

[DIKEMASKINI] MINGGU ini gempar berita tentang filem hitam putih kejayaan England menjulang Piala Dunia 1966 yang dialih menjadi filem warna.

Ramai teruja melihat suasana meriah England meraikan kejayaan muncul juara dunia. Jelas sekali menonton perlawanan akhir Piala Dunia 1966 dalam filem berwarna memberi satu senario yang sangat memukau.

Penulis terus terkenang betapa banyaknya filem hitam putih kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan Malaya dan kemudiannya Malaysia. Pernah suatu ketika pada era 1950-an dan 1960-an, Malaya dan Malaysia dianggap setanding Korea Selatan serta Jepun.

Perlawanan akhir kelayakan ke Sukan Olimpik 1980 menyaksikan Malaysia menumbangkan Korea Selatan 2-1 juga dalam filem hitam putih.

Mungkin sudah sampai masanya semua filem hitam putih kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan Malaya dan Malaysia dialihkan menjadi filem warna.

Penulis teringat filem Hang Tuah, arahan Phani Majumdar keluaran Malay Films Production 1955 yang dialih warna di England oleh EastmanColor. Ia kemudiannya diterbitkan pada tahun 1959 dengan kos sebanyak RM1 juta. Filem Hang Tuah kemudiannya menerima pencalonan Golden Bear di 7th Berlin International Film Festival.

Hang Tuah juga adalah filem Melayu pertama dialih warna mengguna kaedah ‘single strip color’ yang dikenali ‘monopack’ dengan teknik penggabungan pelbagai lapisan ke dalam satu jalur warna, kemudian dipecahkan ‘monopoly technicolor’.

Penulis terharu dengan kesediaan pihak tertentu di Britain yang memanfaat teknologi terkini untuk membangkitkan kembali nostalgia final Piala Dunia 1966 dalam filem warna.

Artikel Berkaitan:

Teknologi baharu alih warna menggunakan 117 kamera, rakaman 46 jam terhadap filem bersaiz 35mm dengan kamera berkelajuan tinggi merakam 24 bingkai sesaat iaitu berjumlah lebih daripada 23 batu filem atau ‘miles of film’.

Proses pewarnaan filem tersebut menggunakan komputer, dicipta bekas jurutera National Aeronautics and Space Administration (NASA), Wilson Markle. Proses Markle perlukan teknik menyeluruh tetapi konsepnya ringkas dan sederhana.

Beliau membuat salinan filem dan memasukkannya ke dalam komputer untuk menentukan warna kelabu tepat daripada setiap objek di tempat kejadian. Beliau kemudiannya menggunakan palet lebih daripada 4,000 pelbagai warna untuk mewarnai setiap bingkai pada setiap pemandangan dan mewarnai semula piksel yang telah bergerak.

Penulis sebenarnya kagum dengan keajaiban teknologi alih warna moden yang berjaya memperbaiki semula dua jam perlawanan terbaik di England pada 1966. Detik penting itu ditonton semula dalam filem warna, sekali gus memberi pengajaran dan panduan kepada generasi akan datang secara maya.

Rakaman hitam putih itu turut terkandung dalam filem terkenal bertajuk They Shall Not Grow Old. Filem mini memberi peluang kepada peminat menilai kehebatan anak buah Sir Alf Ramsey.

Kini akan tercatat dalam sejarah betapa final Piala Dunia 1966 – filem hitam putih pertama menjadi filem warna. Laporan dari London menyebut lebih 180,000 bingkai filem hitam putih asli diwarnakan secara digital, menggunakan memorabilia seperti baju dan bola asli di Muzium Bola Sepak Nasional England.

Penulis berharap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berpandangan positif dengan senario terbaharu itu. Harapnya semua filem hitam putih ‘Harimau Malaya’ pada era 1950-an dan 1960-an akan dijadikan filem berwarna.

Teknologi terkini harus dijadikan platform bagi membentuk karektor mantap rakyat Malaysia. Sejarah telah membuktikan pasukan kebangsaan Malaysia pada suatu ketika dahulu ialah Harimau Asia.

Apa salahnya kejayaan silam dijadikan faktor pemangkin untuk menyemarakkan semangat pemain generasi terkini memburu kejayaan sehingga merealitikan impian muncul untuk kali pertama pada Piala Dunia.

Penulis percaya pihak berkaitan termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) harus mengorak langkah menggunakan kekuatan masa silam untuk menyuntik semangat anak muda Malaysia.

* Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor