X

Kindly register in order to view this article
!

Jepun tidak jual kereta baharu petrol 15 tahun lagi

Jepun akan mengharamkan penjualan kereta baharu berkuasa petrol dalam tempoh 15 tahun akan datang bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar. - Foto AFP
A
A

TOKYO - Jepun mahu mengharamkan penjualan kereta baharu berkuasa petrol dalam tempoh 15 tahun akan datang sebagai sebahagian daripada sasaran untuk mencapai tahap pelepasan karbon yang neutral pada tahun 2050, kata satu laporan hari ini.

Polisi baharu itu akan diumumkan pada minggu depan sebagai cara untuk mempromosikan kenderaan hibrid dan elektrik, lapor akhbar Mainichi Shimbun tanpa memetik sumber yang mengesahkannya.

Menurut agensi berita AFP, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga pada Oktober lalu menetapkan 2050 sebagai tarikh akhir untuk Jepun menjadi negara neutral karbon sekali gus menyebabkan syarikat-syarikat besar merangka rancangan tentang cara untuk mengatasi pelepasan karbon dioksida.

Langkah itu disambut baik oleh para aktivis dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, Jepun masih bergantung kuat dengan minyak dan kerajaan negara itu masih belum memberikan butiran terperinci tentang caranya untuk memenuhi sasaran itu.

Sasaran negara itu kini adalah untuk menjual kereta berkuasa hibrid dan elektrik kerana ia mengeluarkan pencemaran alam sekitar yang rendah.

Pada September lalu, California mengumumkan semua kenderaan penumpang yang dijual di Amerika Syarikat perlu bebas pencemaran menjelang 2035.

Sementara itu, Britain menetapkan sasaran yang lebih awal iaitu melarang penjualan kenderaan berkuasa petrol dan diesel menjelang tahun 2030.

Kementerian Perdagangan dan Ekonomi Jepun tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.

Neutral karbon merupakan istilah yang merujuk kepada jumlah pelepasan gas rumah hijau yang ditetapkan oleh sesebuah negara.

Jumlah pelepasan itu mestilah sama atau kurang daripada jumlah karbon dioksida yang diserap oleh hutan dalam negara berkenaan. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!