Ramai peniaga gagal papar tanda harga khas

Iskandar ketika melakukan pemantauan di Pasaraya Borong Matahari, di sini, hari ini.
Iskandar ketika melakukan pemantauan di Pasaraya Borong Matahari, di sini, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM12,700 kompaun dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga hari ini, sempena Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang dijalankan bermula 30 Januari lalu.

Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, daripada jumlah itu, 108 peniaga diambil tindakan ke atas pelbagai kesalahan berkaitan skim tersebut dengan nilai rampasan bernilai RM12,977.

"Antara kesalahan yang banyak dilakukan adalah gagal menggunakan tanda harga khas iaitu merah jambu sebanyak 69 kes, dan tidak meletak tanda harga mencatatkan 39 kes.

"Manakala aduan pula, kita hanya menerima empat aduan sahaja daripada orang awam terhadap Skim Kawalan Harga setakat ini dan kesemua aduan itu telah disiasat," katanya kepada media selepas melakukan pemeriksaan Barangan Kawalan dan Barangan Harga Terkawal Musim Perayaan, di Pasaraya Borong Matahari dan Pasaraya Checkers Shah Alam, hari ini.

Menurut Iskandar, daripada pengamatannya, Skim Kawalan Harga Perayaan Tahun Baharu Cina sangat berjaya, di mana peniaga memberi kerjasama yang baik kepada skim tersebut.

"Rata-rata mereka (peniaga) mematuhi harga siling yang ditetapkan. Dan Alhamdulillah setakat ini, saya jangkakan dari segi bekalan yang telah dikawal ini mencukupi dan dijangka tidak akan berlaku apa-apa masalah.

"Bagaimanapun, dari segi pemantauan skim ini akan terus dilakukan oleh sebahagian pegawai kami ketika cuti Tahun Baharu Cina bagi mengelak berlakunya kesalahan oleh peniaga," katanya.

Tahun lalu, Skim Kawalan Harga Perayaan Tahun Baharu Cina mencatatkan 231 kes dengan nilai rampasan RM21,530 dan jumlah kompauan dikeluarkan sebanyak RM30,650 atas pelbagai kesalahan bagi tempoh 12 hari.

Artikel Berkaitan: