Majikan dibenar biayai kos penghantaran pulang PATI

 Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

PUTRAJAYA- Majikan daripada syarikat-syarikat besar akan dibenar untuk membiayai kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di depot tahanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebagai timbal balas, syarikat berkenaan akan diberi kuota penggajian pekerja asing yang baharu melalui tapisan yang ketat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Kita bersetuju untuk melihat semula cadangan ini, kalau rasa baik, kita dapat kurangkan kos tahanan dalam depot," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan hari ini.

Menurutnya, hanya terdapat segelintir kecil bilangan PATI di dalam depot tahanan yang mungkin boleh dipilih oleh syarikat tersebut untuk kembali bekerja.

"Jika syarikat besar mahukan mereka dengan cepat, boleh ambil satu dan hantar pulang (PATI) satu.

"Kita benarkan ganti dengan ratio 1:1," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-4 itu turut bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan Multi Tier Levy dari 1 Januari 2021 kepada 1 Julai 2021.

"Kadar levi dalam Multi Tier Levy bagi setiap sektor dikaji semula untuk memastikan keberkesanan pelaksanaannya kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamzah berkata, mesyuarat telah bersetuju untuk menutup penggajian pekerja asing bagi subsektor beku logam atau barang lusuh dan kitar semula.

"Penutupan subsektor ini dengan pelan pengurangan dan pemberhentian penggajian pekerja asing secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.

"Justifikasi penutupan adalah berdasarkan kepada keutamaan penggajian pekerja tempatan, pengurangan pelesen dalam subsektor logam atau barang lusuh dan kitar semula serta transformasi industri ke arah mekanisasi dan automasi," katanya.

Katanya, penggajian pekerja asing sebagai tukang emas akan dipertimbangkan di bawah Pas Lawatan Ikhtisas atau Professional Visit Pass (PVP) yang bertujuan melatih tukang emas tempatan.

"Perkhidmatan tukang emas warga asing ini tidak lagi diperlukan setelah jumlah tukang emas tempatan mencukupi untuk memenuhi keperluan industri," katanya.

Beliau berkata, dasar penggajian ekspatriat dengan kerjasama strategik Talentcorp dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) akan dikaji semula.

"Semakan dan kajian terakhir yang dilakukan oleh kementerian adalah pada 20 Disember 2016.

"Sehubungan itu, terdapat keperluan penambahbaikan dasar Pas Penggajian bagi memastikan wujudnya keseimbangan dalam memenuhi keperluan sumber manusia dengan mengutamakan tenaga kerja tempatan berbanding warga asing, terutamanya setelah berlakunya pandemik Covid-19 di seluruh dunia," katanya.

Tambahnya, kesemua keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Sementara itu, Saravanan berkata, seramai 2,931 pekerja asing yang bekerja di dalam subsektor beku logam atau barang lusuh dan kitar semula.

"Ia merangkumi 13.9 peratus daripada 21, 154 pekerja.

"Pekerja tempatan adalah 18,223 orang," katanya.

TAMAT