Bantu AADK perkasa program pemulihan penagihan

Adun Kemahang, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman (tiga, kanan) dan Zainal (dua, kanan) bergambar selepas majlis perasmian Program Kami Sayang Felda Kemahang di Felda Kemahang 2 di sini.
Adun Kemahang, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman (tiga, kanan) dan Zainal (dua, kanan) bergambar selepas majlis perasmian Program Kami Sayang Felda Kemahang di Felda Kemahang 2 di sini.
A
A
A

TANAH MERAH - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan sentiasa mengalu-alukan kolaboratif daripada pelbagai pihak bagi membantu memperkasakan program mendidik dan mengurangkan kadar penagihan dadah di negeri itu.

Penolong Pengarah AADK Kelantan, Zainal Abidin Mamat berkata, sehingga kini, pihaknya mendapat maklum balas yang sangat positif terutama daripada masyarakat untuk berganding bahu melaksanakan matlamat tersebut.

"Matlamat kita hanya satu, kita mahu kurangkan gejala penagihan dadah dengan memperkasakan program-program pemulihan yang kita rancang.

"Dengan adanya penglibatan agensi-agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan, ia lebih membantu AADK dalam mencapai sasaran mengurangkan budaya penagihan dadah di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum itu, beliau hadir mengiringi Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemahang, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman merasmikan Program Kami Sayang Felda Kemahang di Felda Kemahang 2, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program yang diadakan untuk AADK Tanah Merah, Zainal berkata, ia telah melibatkan beberapa agensi utama seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Majlis Daerah Tanah Merah, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Pejabat DUN itu sendiri.

Katanya, ia merupakan satu kolaboratif lengkap bagi memastikan tujuan utama penganjuran setiap program terutama di kawasan sempadan negara jiran dapat dicapai sebaik mungkin.

Sementara itu, Md Anizam memberitahu, pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh segala aktiviti dan program yang dapat membantu mengurangkan masalah sosial dan gejala penagihan dadah di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Kami menyokong penuh AADK supaya apa yang kita buat ini dapat membantu memberi semangat kepada mereka yang terlibat untuk berubah dan mereka boleh meneruskan kehidupan dengan baik selepas ini, pulih sepenuhnya dan jadi insan baik.

"Kerjasama ibu bapa juga sangat penting setelah mereka pulih bagi memastikan mereka tidak kembali terjebak ke kancah lama dan sentiasa positif dalam kehidupan terutama untuk memilih kawan dan sebagainya," katanya.