Mangsa banjir di Terengganu diberi bantuan RM500

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Setiap keluarga terjejas banjir di Terengganu akan menerima bantuan kecemasan sebanyak RM500.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, bantuan itu akan disalurkan kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, setakat ini pihaknya dalam proses mengemaskini data mangsa banjir.

"Kita kini meneliti jumlah peruntukan yang bakal disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir dan ia akan diputuskan dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan berbincang bentuk bantuan bagi mangsa di kediaman dua tingkat yang tidak berpindah ke PPS.

"Kita akan bincang sama ada bantuan itu akan turut disalurkan kepada mereka atau sebaliknya," katanya.

Hanafiah sebelum ini turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM516,000 bagi mangsa banjir gelombang pertama dan kedua di negeri berkenaan.

Katanya, bantuan sebanyak RM500 itu bagi 673 keluarga yang terjejas di tujuh daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Marang dan Kemaman.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mangsa banjir di Kemaman, mereka akan menerima tambahan bantuan RM500 disebabkan banjir lumpur yang melanda sehingga menyebabkan kerosakan barangan," katanya.

Gelombang kedua banjir di Terengganu berakhir semalam manakala gelombang ketiga banjir mula melanda sejak malam tadi.

Setakat jam 6 petang ini, seramai 832 mangsa banjir direkodkan melibatkan enam daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Kemaman, Dungun dan Setiu.