Jangan takut pindah bila rumah dimasuki air banjir

Ab Rashid (dua dari kiri) bersama agensi penyelamat Jajahan Tumpat bertemu dengan penduduk di Kampung Kubang Sawa hari ini bertanyakan khabar mereka selepas kecoh isu penduduk kampung enggan pindah bimbang rumah dipecah masuk pencuri.
Ab Rashid (dua dari kiri) bersama agensi penyelamat Jajahan Tumpat bertemu dengan penduduk di Kampung Kubang Sawa hari ini bertanyakan khabar mereka selepas kecoh isu penduduk kampung enggan pindah bimbang rumah dipecah masuk pencuri.
A
A
A

TUMPAT - Penduduk Pengkalan Kubor yang terjejas dengan banjir dan perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tidak perlu takut untuk meninggalkan kawasan rumah mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Hal ini kerana Polis Tumpat memberi jaminan, pihaknya akan melakukan rondaan secara berkala bagi memastikan harta benda penduduk yang berpindah berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, bagi memastikan kelancaran penugasan, satu pasukan khas dari Balai Polis Pengkalan Kubor, Simpangan dan Kuala Jambu telah dibentuk.

"Kita juga mohon bantuan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang melakukan penugasan di sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Kubor.

"Bantuan ini bagi memastikan aspek pencegahan jenayah di kawasan penduduk berpindah berada dalam keadaan selamat," katanya selepas mengulas kenyataan penduduk Kampung Kubang Sawa yang tidak mahu berpindah ke PPS selepas bimbang terhadap keselamatan rumah mereka.

Semalam akhbar tempatan melaporkan, majoriti 150 keluarga di Kampung Kubang Sawa, di sini membuat keputusan enggan berpindah setiap kali banjir kerana bimbang rumah dipecah masuk pencuri.

Terdahulu beliau turun padang bertemu dengan penduduk di Kampung Kubang Sawa dan Bendang Pak Yong sambil membuat rondaan banjir.

Artikel Berkaitan:

Ab Rashid (kanan) menasihatkan penduduk supaya berpindah ke PPS sekiranya air naik ekoran hujan lebat tanpa henti yang sedang melanda kawasan ini sejak malam tadi.
Ab Rashid (kanan) menasihatkan penduduk supaya berpindah ke PPS sekiranya air naik ekoran hujan lebat tanpa henti yang sedang melanda kawasan ini sejak malam tadi.

Hadir sama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail.

Rondaan itu turut disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tumpat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tumpat dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela).

Menurutnya, penduduk tidak perlu takut untuk berpindah jika diarahkan berbuat demikian.

Katanya, polis akan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan semuanya selamat.

"Alhamdulillah, sepanjang saya bertugas di sini, polis masih belum menerima sebarang kes berkaitan kecurian sepanjang musim banjir," katanya.

Sementara itu, Penggawa Pengkalan Kubor, Abdul Razak Awang berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilakukan oleh pihak polis.

Katanya, jaminan yang diberikan itu memperlihatkan komitmen polis untuk memastikan harta benda mangsa banjir berada dalam keadaan selamat.

"Jadi tak payahlah takut untuk berpindah.

"Buat persediaan awal untuk berpindah kerana paras air menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam," katanya.