X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli perniagaan guna nama Ketua Polis Johor dicekup

Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang ahli perniagaan cuba merasuah pasukan polis yang membuat serbuan di sebuah pusat hiburan di Ulu Tiram, dekat sini membawa padah apabila diberkas kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi serbuan sepasukan polis tindakan khas pada jam 11.35 malam, lelaki berusia 47 tahun itu cuba menawarkan wang RM45,000 sebanyak tiga kali kepada pihak polis.

Katanya, wang berkenaan sebagai sogokan supaya polis tidak mengambil tindakan ke atas premis itu termasuk pengunjungnya.

"Namun pegawai bertugas tidak mengendahkan tawaran lelaki itu dan menahannya termasuk 15 pengunjung berusia 20 hingga 54 tahun yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

"Ahli perniagaan itu juga disyaki pernah menjadi orang perantaraan kepada pemilik premis itu dengan menggunakan nama Ketua Polis Johor bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata, ahli perniagaan itu telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semua 66 pengunjung di pusat hiburan tersebut dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terutama tidak mengamalkan penjarakkan fizikal.

"Ini merupakan kali kedua pusat hiburan berkenaan diserbu polis selepas serbuan pertama pada 1 November lalu. Hasil semakan mendapati premis itu berlesen tetapi melanggar SOP PKPP," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor (ENJ) 1998, Peraturan 11(PPPPB) 2020 dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Ayob Khan memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjadi orang perantaraan atau mengambil kesempatan menggunakan nama Ketua Polis Johor untuk melindungi aktiviti mereka daripada diambil tindakan undang-undang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!