X

Kindly register in order to view this article
!

Jaga adab supaya ilmu berkat

Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan - FOTO ROSLI TALIB
A
A
SHAH ALAM – Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan walau dalam apa juga keadaan serta perlu dilakukan secara berterusan tanpa batasan masa.

Penceramah bebas, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian, adab dan etika pembelajaran perlu difahami dan diikuti setiap pelajar bagi memastikan proses menuntut ilmu dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai objektifnya.

“Dalam suasana dunia termasuk negara kita yang masih menghadapi ancaman pandemik Covid-19, mahu atau tidak, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) terpaksa berubah daripada secara bersemuka kepada pembelajaran secara dalam talian.

“Dalam keadaan normal baharu ini, kita kena terima perubahan. Kaedah membaca al-Quran pun berbeza, sekarang ada pen ajaib yang boleh hafal semua surah, kita hanya tekan sahaja.

“Bagaimanapun jangan jadikan perubahan ini untuk menghakis adab ketika menimba ilmu. Kegagalan menerapkan kefahaman mengenai adab semasa sesi pembelajaran secara dalam talian serta keperluan mempraktikkannya akan mengundang suasana tidak harmoni, sekali gus akan mengganggu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran bertajuk Cabaran Pendidikan Norma Baharu yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf semalam.

Dr Nur Mohammad Hadi bergandingan dengan guru bimbingan dan kaunseling, Abdul Muiez Ruslee sebagai panelis manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur yang membacakan surah Al-Zumar.

Wacana Al-Quran yang diadakan di Karangkraf yang membincangkan tajuk Cabaran Pendidikan Norma Baharu, dari kiri, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Guru Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Abdul Muiez Ruslee, Penceramah Bebas, Dr Nur Mohammad Hadi dan Johan Tilawah Asia di Brunei 2015 dan Thailand 2016, Ustaz Husaini Mahmur. - FOTO ROSLI TALIB
Wacana Al-Quran yang diadakan di Karangkraf yang membincangkan tajuk Cabaran Pendidikan Norma Baharu, dari kiri, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, Guru Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Abdul Muiez Ruslee, Penceramah Bebas, Dr Nur Mohammad Hadi dan Johan Tilawah Asia di Brunei 2015 dan Thailand 2016, Ustaz Husaini Mahmur. - FOTO ROSLI TALIB

Beliau berkata, dalam Islam, ilmu dan adab sama sekali tidak boleh dipisahkan bahkan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain

“Islam amat menyanjung tinggi setiap usaha yang dilakukan untuk menuntut ilmu. Namun begitu ia perlulah dilakukan dengan cara yang beradab.

“Tidak ada gunanya jika seseorang pelajar itu memiliki ilmu yang hebat namun tidak mempunyai adab atau etika yang baik. Adab yang baik sebenarnya adalah cerminan atau manifestasi keilmuan seseorang.

“Semakin tinggi ilmu seseorang itu maka semakin baiklah adabnya dan begitu jugalah sebaliknya. Oleh yang demikian setiap pelajar perlulah memahami, mengambil berat dan mempraktikkan adab belajar yang baik walaupun ianya dilakukan secara dalam talian,” katanya.

Katanya lagi, sukar untuk tenaga pengajar melakukan pemantauan ke atas setiap pelajar setiap kali sesi pembelajaran atas talian terutama sekiranya bilangan pelajar ramai.

Justeru ujar Nur Mohammad Hadi, setiap pelajar perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab sendiri dalam menghargai pengorbanan guru dengan memberikan kerjasama dan tumpuan sepenuhnya terhadap subjek pembelajaran serta menjauhi sikap sambil lewa.

“Semasa sesi kelas dalam talian sedang berlangsung, usahlah melakukan perkara lain yang tiada kaitan dengan pembelajaran seperti tidur, membuka laman web lain yang tiada kaitan dengan subjek pembelajaran, bersembang dan sebagainya.

“Perbuatan ini mungkin ‘berjaya’ dan tidak diketahui oleh tenaga pengajar tetapi ketahuilah bahawa perbuatan tersebut sebenarnya hanya akan merugikan diri pelajar itu sendiri.

“Ibu bapa juga perlu mengawasi dan memantau anak-anak mereka supaya ilmu yang diperoleh mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!