Wanita Vietnam cuba rasuah polis RM30,000 ditahan

Ayob Khan (tengah) beramah mesra dengan empat pegawai polis yang menerima sijil penghargaan Ketua Polis Negara selepas menjalankan operasi di pusat hiburan dan menolak rasuah pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan (tengah) beramah mesra dengan empat pegawai polis yang menerima sijil penghargaan Ketua Polis Negara selepas menjalankan operasi di pusat hiburan dan menolak rasuah pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warganegara Vietnam ditahan kerana cuba merasuah polis RM30,000 bagi melepaskan dua individu yang ditahan kerana membawa arak seludup di dalam dua buah kereta di Jalan Padi Malinja 5, Senai, di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita tersebut yang berusia 25 tahun, merupakan penjaga kepada kedua-dua suspek itu iaitu seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Indonesia berusia 21 dan 26 tahun.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan dalam satu operasi pada jam 7.40 pagi oleh sepasukan polis dari Quick Reaction Force (QRF) Kompeni A Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah.

"Suspek yang membawa kereta Perodua Alza dan Nissan Almera ditahan di Jalan Padi Malinja 5, Senai. Pemeriksaan ke atas Nissan Almera menemui pelbagai jenis arak tanpa cukai.

"Kemudian wanita Vietnam itu menawarkan RM30,000 supaya melepaskan dua suspek dan tiada tindakan diambil. Suspek diberikan amaran tetapi masih cuba merasuah polis sebelum ditangkap," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Katanya, polis turut merampas sebuah beg plastik hitam mengandungi RM29,600 iaitu melibatkan 100 keping not RM100 dan 392 keping not RM50.

Hasil soal siasat ke atas semua suspek, beliau berkata, pihak polis melakukan serbuan di rumah di Jalan Padi Malinja 6, Taman Senai Baru dan Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, Skudai, di sini.

Beliau memberitahu, pihaknya menemui pelbagai rokok dan minuman keras iaitu 1,696 karton berisi 339,200 rokok putih, 142 karton arak tidak bercukai dan sebuah lagi kereta Nissan Almera.

Artikel Berkaitan:

Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Suspek yang cuba merasuah pihak polis dan wang rampasan diserahkan kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut," katanya.

Ayob menasihatkan masyarakat supaya tidak memberi suapan kepada penguat kuasa undang-undang khasnya pihak polis dan tidak menjadi orang perantaraan atau mengambil kesempatan menggunakan nama beliau untuk melindungi aktiviti mereka daripada diambil tindakan undang-undang.