Menteri kecam lelaki tampar juruwang hamil

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan suspek menampar mangsa sehingga tular di media sosial.
Rakaman kamera litar tertutup memaparkan suspek menampar mangsa sehingga tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengecam tindakan seorang lelaki bertindak kasar dengan menampar juruwang wanita yang hamil lima bulan.

Zuraida turut meminta supaya tindakan keganasan terhadap wanita di dalam negara dihentikan.

Video kejadian yang berlaku di sebuah pasar raya di Klang itu tular di media sosial.

“Saya percaya tindakan lelaki yang menampar wanita berkenaan seolah-olah mencederakan anggota keluarga perempuannya seperti ibu, anak, kakak, adik, nenek atau isterinya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori tampar juruwang diberkas

“Saya difahamkan kertas siasatan telah dibuka namun saya harap siasatan terperinci dilakukan bagi kes tersebut dan penyelesaian terbaik dapat dicapai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan kejadian itu, Zuraida berkata, wanita di Malaysia ketika ini sudah melakukan pelbagai tuntutan yang mencabar selain mencari rezeki dan menguruskan rumah tangga.

“Ketika Covid-19 melanda negara, tuntutan mencari rezeki bagi menyara keluarga tidak lagi mudah. Wanita berkenaan juga terpaksa bekerja sebagai juruwang dan dalam pada masa yang sama mengurus rumah tangga.

Artikel Berkaitan:

“Pengorbanan wanita itu wajar dihargai bagi memudahkan urusan orang ramai membeli keperluan asas dan sanggup meletakkan diri dalam risiko dijangkiti virus itu,” katanya.

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

Sehubungan itu, beliau berharap kejadian sedemikian tidak akan berulang dan mahu rakyat Malaysia saling hormat antara satu sama lain.

Terdahulu, seorang juruwang yang sedang hamil lima bulan ditampar seorang lelaki yang dipercayai suami kepada salah seorang pengunjung pasar mini tersebut di Klang Ahad lalu.

Susulan daripada kejadian tersebut, pihak polis pada Isnin lalu telah menahan lelaki tersebut yang disyaki menampar wanita tersebut selepas menerima aduan mangsa pada hari yang sama.

Pihak polis memaklumkan bahawa suspek telah diberikan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

Hasil semakan pihak polis juga mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.