Rayuan kilang haram ditolak

Perobohan bengkel jentera berat di Dato' Lee Kim Sai baru-baru ini.
Perobohan bengkel jentera berat di Dato' Lee Kim Sai baru-baru ini.
A
A
A

RAWANG - Lebih 10 pengusaha kilang tampil membuat rayuan supaya tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana beroperasi berhampiran Sungai Rawang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, ia susulan tindakan tegas kerajaan negeri yang mengarahkan tindakan perobohan dilakukan ke atas struktur haram yang terletak atas rizab kerajaan dan rizab sungai bagi atasi isu pencemaran sungai.

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya menolak rayuan pemilik kilang tersebut sebaliknya menyokong tindakan kerajaan negeri yang dilihat tepat dalam menyelesaikan isu berulang itu.

"Pendirian saya kepentingan orang ramai lebih utama berbanding persendirian. Itu sebab apabila ada yang datang buat rayuan saya tidak akan membantu.

"Isu air adalah isu penting. Apabila berlakunya pencemaran disebabkan kilang di Rawang, ia bukan hanya menjejaskan penduduk di sini sahaja tetapi sebahagian besar rakyat di Selangor, " katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan perobohan dua struktur bengkel di Dato' Lee Kim Sai dan satu lagi di Sungai Garing dalam dua operasi berasingan yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, beliau berharap penguatkuasaan itu dipergiatkan dan diperluaskan ke kawasan lain.

"Kilang haram di Rawang ini beroperasi sejak sebelum 2008 dan sukar dikawal disebabkan kelemahan sistem penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

"Bukan hanya di Rawang tetapi saya percaya kawasan lain seperti di Kundang, Semenyih dan kawasan luar bandar juga ada kilang-kilang seperti ini.

"Cuma tindakan ditumpukan di Rawang terlebih dahulu kerana isu pencemaran yang dilaporkan berlaku di sini, harap tindakan ini berterusan sehingga masalah ini selesai," katanya.

Terdahulu, sebanyak tiga daripada lapan struktur haram yang beroperasi di tepi Sungai Rawang telah diambil tindakan perobohan terdiri bengkel jentera berat.

Penguatkuasaan ditumpukan kepada bengkel jentera berat susulan terdedah kepada pencemaran sungai disebabkan pelepasan pelarut ketika melakukan pencucian jentera selain mengeluarkan minyak hitam.