Peruntukan Belanjawan 2021 MITI lulus

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (depan, kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (depan, kiri) keluar daripada dewan selepas undian belah bahagi bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa pada Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (depan, kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (depan, kiri) keluar daripada dewan selepas undian belah bahagi bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa pada Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2021 bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diluluskan selepas undi belah bahagi dengan 110 ahli Parlimen menyokong, 104 tidak setuju manakala enam lagi ahli Parlimen tidak hadir.

Sesi perbahasan belanjawan kementerian berkenaan agak tegang apabila beberapa ahli Parlimen mempersoalkan peruntukan yang diberikan kepada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu sememangnya sudah dikurangkan dan penjimatan RM233.4 juta dipulangkan kepada Kementerian Kewangan untuk menyokong usaha-usaha pemulihan ekonomi melalui beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan Pakatan Harapan semasa meluluskan peruntukan Penganjuran APEC 2020 berjumlah RM350 juta pada tahun 2019 (12 Julai 2019) telah menetapkan penyaluran peruntukan dibuat berdasarkan unjuran perbelanjaan melalui tiga fasa, iaitu RM20 juta untuk tahun 2019, RM300 juta untuk tahun 2020 dan selebihnya RM30 juta untuk tahun 2021.

“Penyaluran pada tahun 2019 adalah bagi membiayai kerja-kerja persediaan awal, manakala penyaluran pada tahun 2020 adalah untuk menampung penganjuran sebenar Persidangan APEC sepanjang tahun 2020.

“Manakala, peruntukan pada tahun 2021 pula adalah bagi menampung pembayaran akhir segala komitmen-komitmen kontrak yang masih berkuat kuasa selepas Persidangan APEC 2020 serta menyelesaikan segala proses dokumentasi APEC 2020 bagi tujuan arkib dan pengauditan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, bagi tahun 2020, walaupun RM300 juta diperuntukkan bagi menampung kos penganjuran APEC 2020, peralihan format penganjuran daripada fizikal kepada maya berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan penutupan sempadan negara telah memberikan penjimatan sebanyak RM233.4 juta.

Menurutnya, hanya RM66.6 juta digunakan yang meliputi penyaluran kepada tiga kementerian lain berjumlah RM13.1 juta iaitu Kementerian Kewangan (RM7 juta); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (RM4.1 juta) dan Kementerian Dalam Negeri (RM2 juta).

Artikel Berkaitan:

“Baki sebanyak RM53.5 juta dibelanjakan bagi penganjuran persidangan APEC di pelbagai peringkat termasuk mesyuarat-mesyuarat peringkat menteri berkaitan sektor perdagangan, kesihatan, kewangan, wanita, perusahaan kecil dan sederhana, keselamatan makanan serta mesyuarat-mesyuarat pegawai kanan yang bermula seawal Disember 2019," katanya.

Beliau berkata, Malaysia berjaya menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC dan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, secara keseluruhannya, 146 mesyuarat dan program-program berkaitan di pelbagai peringkat telah diadakan sepanjang tahun penganjuran APEC 2020.

“Berdasarkan Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 yang dibentangkan di Dewan yang mulia ini, dana RM25 juta akan diperuntukkan untuk menampung kos Persidangan APEC 2020 yang meliputi emolumen yang perlu dibayar dan kos operasi bagi tahun 2021 berjumlah RM5.02 juta.

“Kontrak penjenamaan pula telah berkuatkuasa mulai November 2019 dan hanya akan berakhir pada Januari 2021 di mana terdapat baki yang perlu dibayar berjumlah RM16.2 juta daripada jumlah keseluruhan kontrak bernilai RM49.5 juta," katanya.

Tambah beliau, bagi kontrak laman sesawang yang bermula pada Julai 2019 dan akan berakhir pada Jun 2021, baki yang perlu dibayar pada tahun 2021 adalah berjumlah RM63,494 daripada nilai kontrak bernilai RM634,940.

Menurutnya, kontrak belian media yang dimeterai pada Disember 2019 itu kini berbaki sebanyak RM3.71 juta perlu dilunaskan pada tahun 2021.

"Secara keseluruhannya, sebanyak RM24.99 juta diperlukan bagi melunaskan baki pembayaran-pembayaran yang perlu dibuat pada tahun 2021.

“Sekiranya semua komitmen kontrak tidak dijelaskan, pihak kerajaan akan berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada pihak penyedia perkhidmatan yang mana akan menyebabkan bebanan kewangan lebih tinggi," katanya.