KDN perlu teliti pemberian taraf kewarganegaraan

Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu meneliti pemberian taraf kewarganegaraan ke atas anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita rakyat Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warganegara asing.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ini bagi mengelakkan berlaku kes dwi warganegara atau pertindihan pemberian kewarganegaraan kepada individu tersebut.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 14 (1) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana lelaki warganegara Malaysia berkahwin dengan wanita asing melalui perkahwinan diiktiraf dan teratur dan melahirkan anak di luar negara maka secara automatik anak berkenaan menjadi warganegara.

Sebaliknya, beliau berkata, jika wanita warganegara Malaysia berkahwin dengan rakyat asing dan melahirkan anak di luar negara walaupun perkahwinan itu teratur dan diiktiraf, anak yang dilahirkan di luar negara berkenaan tidak semestinya secara automatik sebagai warganegara Malaysia.

Katanya lagi, tindakan itu perlu bagi mengelakkan kes di mana anak yang dilahirkan mempunyai dwi kewarganegaraan atau dua kerakyatan negara berbeza.

"Negara lain juga mengamalkan polisi yang sama iaitu anak wanita warganegara berkenaan yang berkahwin dengan lelaki rakyat asing akan mengikut taraf kewarganegaraan bapa kanak-kanak berkenaan.

“Kita perlu teliti dalam pemberian kewarganegaraan kepada anak wanita rakyat tempatan yang berkahwin dengan warga asing dan dilahirkan di luar negara bagi mengelak kes pertindihan pemberian kewarganegaraan atau dwi kerakyatan kepada kanak-kanak terbabit.

“Jika kanak-kanak berkenaan belum memiliki taraf kerakyatan mengikut bapanya, maka ibu bapanya boleh membuat permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah soal keselamatan dan kedaulatan negara yang mesti kita pertahankan dan jaga,” katanya di Dewan Rakyat di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjawab pertanyaan Natrah Ismail (PH-Sekijang) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah kerajaan berhasrat melaksanakan Cadangan Umum Jawatankuasa (Cedaw) No 34 untuk memastikan wanita mempunyai hak kewarganegaraan yang sama rata dengan golongan lelaki terutama hak berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara apabila berkahwin dengan lelaki yang bukan warganegara.