X

Kindly register in order to view this article
!

Penyediaan DAN 2.0 kini di peringkat akhir: MAFI

DAN 2.0 memberikan tumpuan kepada pemerkasaan industri padi dan beras, tanaman (sayur-sayuran dan buah-buahan), ternakan serta perikanan dan akuakultur untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara. - Foto hiasan 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam peringkat akhir menyediakan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) 2021-2030 ke arah pembangunan sektor agromakanan mampan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, DAN 2.0 memberikan tumpuan kepada pemerkasaan industri padi dan beras, tanaman (sayur-sayuran dan buah-buahan), ternakan serta perikanan dan akuakultur untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara.

Menurutnya, pada masa ini negara berupaya menghasilkan hampir semua bahan makanan asas yang diperlukan termasuk beras, sayur-sayuran, buah-buahan, daging ayam dan itik, daging lembu dan kerbau, telur ayam, telur itik, susu segar dan ikan.

"Berdasarkan kadar pengeluaran makanan negara, tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) bagi daging ayam dan itik, telur ayam, telur itik dan ikan adalah melebihi 90 peratus.

"Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan, Malaysia telah mencapai SSL melebihi 100 peratus kecuali bagi buah mangga, kelapa, kubis, cili dan halia," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai keupayaan negara dalam menjamin bekalan makanan negara tidak terputus bagi melindungi keterjaminan bekalan makanan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beberapa bahan makanan lain seperti daging lembu, beras, sayur-sayuran dan buah-buahan beriklim sederhana (kubis, bawang, epal dan oren), negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan domestik.

Justeru menurutnya, bagi memastikan keberupayaan negara menjamin bekalan makanan secara berterusan, MAFI telah mengenal pasti beberapa hala tuju baharu dalam sektor pertanian.

"Ia termasuk industri padi, tanaman ternakan dan perikanan bagi tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) untuk tempoh lima tahun akan datang (2021-2025) iaitu mengoptimumkan penggunaan tanah, meningkatkan aplikasi teknologi moden dan membangunkan varieti yang berkualiti bagi industri padi.

"Membangunkan komoditi sayur-sayuran dan buah-buahan yang bernilai tinggi untuk tujuan domestik dan eksport bagi industri tanaman," katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pengeluaran daging dan susu, Lembaga Ruminan Negara ditubuhkan melalui Projek Rintis Tenusu di lima buah Lembah Tenusu.

Katanya, bagi mengoptimakan penggunaan sumber ternakan untuk meningkatkan pengeluaran daging dan susu negara, konsep 'circular economy' akan diperkenalkan kepada penternak ruminan.

"Kerajaan turut memperkukuh pengurusan dan penguatkuasaan serta menambahbaik infrastruktur dan kemudahan bagi industri perikanan.

"Beberapa langkah yang akan terus dilaksana dan dipergiatkan oleh MAFI bagi memastikan kelestarian rantaian bekalan makanan terjamin," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!