Ibrahim Shah dilantik penasihat Pintar

Ibrahim Shah Abu Shah
Ibrahim Shah Abu Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Senator Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah dilantik sebagai penasihat Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

Pelantikan itu dipersetujui dalam mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu yang diadakan secara maya kelmarin.

Presiden Pintar, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan hari ini berkata, meskipun mesyuarat itu diadakan dalam talian, namun ia mendapat sambutan menggalakkan daripada ahlinya.

"Pintar berjaya mengadakan Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 1 September 2020 lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada intelektual dari seluruh negara selain turut dihadiri pemimpin dan pegawai kerajaan.

"Banyak input berguna telah diperoleh daripada konvensyen yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Untuk bergerak ke hadapan, Pintar sedang merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti menarik termasuk satu Konvensyen Setahun Pentadbiran Kerajaan PN pada 1 Mac 2021 nanti," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohd Roslan berkata, Pintar juga komited untuk menyokong kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin.

"Pintar sekali lagi ingin mengulangi seruan yang pernah 115 ilmuan berkelulusan doktor falsafah (PhD) buat pada 19 Jun 2020 lalu supaya semua rakyat memberi penghormatan dan sokongan penuh kepada kerajaan yang diketuai oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Sokongan perlu diberikan kepada beliau untuk mengemudi negara sehingga dikembalikan mandat pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) mengikut peruntukan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.