Covid-19: Polis Selangor terima sumbangan peralatan perlindungan diri

Noor Azam (kiri) bersama Mohamad Fuzi (dua dari kiri) bergambar selepas penyerahan sumbangan berkenaan di IPK Selangor, hari ini.
Noor Azam (kiri) bersama Mohamad Fuzi (dua dari kiri) bergambar selepas penyerahan sumbangan berkenaan di IPK Selangor, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Inix Technologies Holdings Bhd menyerahkan sumbangan set barangan perlindungan diri kepada anggota Polis Selangor dalam memerangi wabak Covid-19.

Majlis penyerahan sumbangan itu disampaikan kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.

Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif Inix Technologies Holdings Berhad, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, antara keperluan yang disampaikan untuk kegunaan anggota terlibat adalah pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan beberapa barangan lain.

"Semua barangan ini adalah bernilai RM50,000 secara keseluruhan dan ini merupakan antara inisiatif yang diambil kami bagi membantu petugas barisan hadapan memerangi Covid-19," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan, hari ini.

Tambah Mohamad Fuzi, pihaknya juga merancang memperluaskan lagi program sumbangan itu ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada minggu hadapan.

"Ini merupakan program pertama dan kita akan perluaskan lagi untuk membantu petugas barisan hadapan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penyerahan berkenaan, Noor Azam berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana syarikat korporat dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi wabak Covid-19.

"Kami memang memerlukan kelengkapan barangan ini dan terima kasih kepada pihak yang sudi menyumbang," katanya.

Artikel Berkaitan: