Puteri UMNO minta kerajaan pertimbang semula keluar akaun satu KWSP

Hantaran di Facebook Zahida Zarik Khan.
Hantaran di Facebook Zahida Zarik Khan.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran akaun satu secara bersasar dan berperingkat adalah suatu tindakan yang mendukacitakan harapan sebahagian rakyat Malaysia.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, KWSP seharusnya tidak mengenakan pelbagai prasyarat seperti yang telah dinyatakan semalam memandangkan situasi ekonomi semasa yang dilihat telah memberikan tekanan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, beliau dengan nada tegas meminta kerajaan supaya menimbang kembali keputusan tersebut bagi memastikan ia dapat memberikan manfaat kepada mereka yang terjejas.

“KWSP seharusnya membenarkan pengeluaran sukarela secara 'one-off', dengan pengeluaran maksimum RM10,000 kepada semua pencarum tidak mengira mereka terjejas mahu pun tidak.

“Jika kerajaan bersetuju pada dasar untuk meluluskannya mengapa tidak dengan cara yang dapat memberi impak yang maksimum kepada rakyat. Dalam situasi krisis ekonomi kini, pada saya, tidak perlu untuk KWSP memikirkan soal bersasar mahu pun tersasar kerana apa yang diperlukan rakyat sekarang hanya pengeluaran simpanan sendiri bukanlah dana tambahan bantuan daripada kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Tambah beliau, sekiranya kemudahan berkenaan diperluaskan kepada semua pencarum, ia boleh membantu para pencarum untuk melaksanakan pelbagai perancangan seperti memulakan perniagaan baru dan menyelesaikan hutang-hutang tertunggak.

Kelmarin, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang boleh mengeluarkan simpanan akaun satu membabitkan lapan juta ahlinya yang layak memohon melalui skim i-Sinar.

Penerima daripada kategori satu melibatkan pencarum yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi 'gig', sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ahli KWSP yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020 juga merupakan pencarum yang terletak di bawah kategori satu.

Bagi kategori dua pula, mereka adalah daripada kalangan ahli KWSP yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.