Malim gunung lega aktiviti daki Gunung Kinabalu dibuka semula

Aktiviti pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula. - Gambar hiasan
Aktiviti pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 291 orang malim gunung menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan pembukaan semula aktiviti pendakian Gunung Kinabalu yang bermula Isnin depan.

Ia berikutan selepas malim gunung kehilangan punca pendapatan sejak kira-kira dua bulan lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi berkata, ramai ahli persatuan memaklumkan berita itu melalui aplikasi WhatsApp sejak malam tadi.

Bagaimanapun, menurutnya, ketika ini pihak persatuan belum dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan terbaharu itu oleh pengurusan Taman Kinabalu.

"Pembukaan semula aktiviti pendakian Gunung Kinabalu ini amat baik dan menggembirakan semua malim gunung, malah sejak malam tadi ramai berkongsi berita mengenainya.

Pembukaan aktiviti pendakian Gunung Kinabalu perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.
Pembukaan aktiviti pendakian Gunung Kinabalu perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Pada mulanya saya sendiri pun kurang percaya kerana bimbang ia hanya khabar angin, namun apabila dimaklumkan bahawa maklumat itu diumumkan oleh kerajaan, saya bersyukur dan yakin semua pihak, bukan saja malim gunung, malah porter dan pendaki juga menunggu berita baik ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka tiada masalah kerana sebelum pelaksanaan PKPB ketika aktiviti pendakian dibuka semula, SOP sudah ditetapkan oleh pihak taman.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum PKPB ini, memang ada disediakan SOP oleh pihak taman untuk malim gunung dan pelancong, jadi tiada masalah untuk kami mematuhinya," katanya.

No Image Caption

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan Sabah melalui Taman-Taman Sabah (TTS) bersiap sedia untuk membuka semula pintu Taman Kinabalu secara berperingkat kepada pelawat tempatan dengan pelaksanaan SOP ketat bermula pada 7 Disember ini.

Beliau dalam pada itu berkata, sebagai permulaan kapasiti jumlah pendaki yang dibenarkan adalah tidak melebihi 50 peratus berbanding jumlah kapasiti pendaki yang dibenarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.