Jangan ambil mudah kewujudan kluster baharu: Sultan Johor

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah dengan peningkatan kluster baharu Covid-19 di Johor.

Baginda bertitah, masyarakat perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan menggunakan cecair membasmi kuman merupakan langkah penting yang perlu sentiasa diamalkan dalam memutuskan rantaian wabak itu.

"Pada masa sama, masyarakat dinasihatkan mengelak daripada menganjurkan majlis yang mengundang orang ramai berkumpul kerana ia berisiko tinggi.

"Jangan kita leka atau memandang ringan akan penularan wabak berkenaan," titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Titah baginda lagi, kegagalan mematuhi SOP akan menyebabkan berlakunya peningkatan kes seterusnya memberi pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat.

"Masyarakat juga perlu menjaga kesihatan ahli keluarga dengan mengamalkan SOP serta jangan mendedahkan kanak-kanak dan ibu bapa kepada bahaya jangkitan," titah Baginda.

Baginda bertitah, penularan wabak Covid-19 adalah ujian daripada Allah SWT yang sedang menguji hamba-hambaNya di muka bumi ini.

Artikel Berkaitan:

"Setiap ujian yang melanda, pasti mempunyai hikmah yang tersendiri," titah baginda lagi.