Pulih ekonomi, pelancongan dengan situasi menang-menang: Sharkar

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan disaran mencari kaedah secara menang-menang bagi memulihkan sektor ekonomi dan pelancongan di seluruh negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komuniti Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengakui PKPB wajar diteruskan namun perlu dilaksanakan mengikut daerah dan tidak melibatkan seluruh negara.

Menurutnya, sebagai contoh, sekiranya sesebuah daerah itu dikategorikan sebagai zon merah atau kuning, hanya kawasan berkenaan sahaja perlu dikenakan PKPB.

"Pada pandangan saya, jika PKPB melibatkan seluruh negara atau negeri, ia akan memberi kesan kepada ekonomi. Ramai yang akan kehilangan pekerjaan dan sudah pasti peniaga kecil akan terkesan.

"Sektor pelancongan negeri juga akan terjejas. Saya berikan contoh di Pahang, industri pelancongan berhadapan dengan cabaran besar apabila kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong sebulan sejak Mac 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan menjelaskan keputusan PKPB ditamatkan atau disambung di beberapa negeri akan diketahui pada Jumaat ini.

PKPB sebelum ini diumumkan dilaksanakan di seluruh negara kecuali bagi negeri Pahang, Perlis dan Sarawak yang bermula 9 November lalu.

Bagaimanapun PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan lebih awal iaitu pada 21 November lalu namun beberapa daerah seperti Kulim di Kedah, Kota Tinggi dan Mersing di Johor masih dikenakan PKPB.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kehilangan pelancong secara mendadak itu amat membimbangkan dan ia memberi kesan kepada pencapaian sasaran 15 juta pelancong tahun ini.

Selain itu, Mohd Sharkar menambah, kerajaan Pahang komited memastikan industri pelancongan di negeri ini bangkit dan berdaya saing dengan merancang pelbagai inisiatif bagi meningkatkan semula kemasukan pelancong khususnya pelancongan domestik.

"Usaha ini dapat dilihat dalam pembentangan Belanjawan 2021 Negeri apabila Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi 16 projek di bawah Projek Penyediaan Infrastruktur dan Fasiliti Pelancongan 2020 meliputi setiap daerah di Pahang," katanya.