X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada keperluan naikkan had usia bersara penjawat awam

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melihat tiada keperluan mendesak untuk kerajaan meningkatkan had minimum usia persaraan perkhidmatan awam sedia ada daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, sebelum ini, had umur persaraan penjawat awam sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun dengan kali pertama dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001.

Menurutnya, ia diikuti tujuh tahun kemudian, apabila usia persaraan dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008, dan daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada 2011.

Katanya, Cuepacs berpandangan sebahagian besar individu dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas kebiasaannya berdepan dengan beberapa kekangan berkaitan pekerjaan termasuk faktor kesihatan, selain perlu mengadaptasi teknologi baharu yang semakin canggih.

"Ketetapan untuk mengekalkan had usia persaraan perkhidmatan awam ini juga mengambil kira pelbagai pertimbangan lain termasuk memberi peluang pekerjaan kepada lebih banyak golongan muda yang berkemahiran dan berbakat.

"Kemasukan kakitangan muda sudah pasti sedikit sebanyak menyumbang kepada peremajaan sistem perkhidmatan awam sesuai dengan keadaan semasa. Oleh itu, peraturan semasa yang terpakai ketika ini untuk had usia persaraan penjawat awam adalah masih munasabah dan relevan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, pada masa yang sama penjawat awam boleh membuat keputusan untuk bersara mengikut pilihan sendiri pada bila-bila masa yang difikirkan perlu walaupun masih belum mencapai usia 60 tahun.

Terdahulu, wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia baru-baru ini mencadangkan supaya Malaysia meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan status Malaysia sebagai negara yang mungkin mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.

Atas faktor itu wakil Bank Dunia mencadangkan agar Malaysia meningkatkan had minimum usia persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun dan ia dikaji dari masa ke masa sesuai dengan unjuran jangka hayat penduduk Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia kini hidup lebih lama

Dalam pada itu Adnan berkata, Cuepacs bagaimanapun mengakui menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada wakil-wakil pekerja di sektor swasta agar had usia persaraan dinaikkan kerana ramai rakyat Malaysia masih lagi memiliki baki pinjaman perumahan yang banyak walaupun telah menghampiri usia persaraan.

Malah katanya, ada yang terpaksa membuat pinjaman perumahan sehingga umur 65 tahun dan rata-rata mereka ini bimbang tidak mempunyai pendapatan boleh guna yang cukup selepas bersara kerana masih lagi perlu membayar hutang rumah.

Jelasnya, perkara itu berlaku disebabkan harga rumah yang sangat mahal ketika ini selain skim gaji yang rendah.

"Untuk mengatasi masalah ini, Cuepacs berharap kerajaan dapat meningkatkan had gaji minimum ke tahap yang lebih baik bagi membolehkan rakyat mempunyai simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang lebih banyak untuk sektor swasta, manakala penjawat awam boleh menerima wang pencen lebih tinggi.

"Pendapatan boleh guna mereka selepas bersara juga akan lebih baik sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat. Pada masa sama perbanyakkan lagi membina rumah-rumah yang dikategorikan sebagai mampu milik dan selesa untuk golongan rakyat berpendapatan rendah," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!