Sembilan polis ditahan edar dadah dalam lokap

Ayob Khan (tengah) menyerahkan sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara kepada anggota polis yang melakukan operasi di pusat hiburan dan menolak rasuah selepas sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Ayob Khan (tengah) menyerahkan sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara kepada anggota polis yang melakukan operasi di pusat hiburan dan menolak rasuah selepas sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan sembilan anggotanya dan seorang orang awam kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 29 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sembilan anggota polis berpangkat koperal dan konstabel berusia 20 hingga 36 tahun itu bertugas di lokap IPD berkenaan.

"Orang awam yang ditahan itu pula adalah seorang wanita iaitu anak kepada seorang tahanan dikenali sebagai 'Datuk Ajim' berusia 23 tahun. Wanita ini merupakan pembekal dadah di IPD berkenaan.

"Polis menemukan 38.65 gram syabu bernilai RM3,865 dan 42.25 gram heroin bernilai RM2,112 termasuk sejumlah tembakau dalam sel lokap pada 29 November lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan itu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Johor melakukan ujian saringan air kencing terhadap 129 tahanan reman di lokap terbabit.

Menurutnya, 22 daripadanya didapati positif dadah iaitu 21 warga tempatan manakala seorang lagi warga asing semuanya berusia antara 20 hingga 45 tahun yang ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Daripada jumlah tersebut seramai 10 tahanan positif methamphetamine, 11 positif morfin dan seorang lagi positif tetrahudrocannabinol (THC).

"Kita juga menjalankan ujian saringan ke atas anggota polis dan mendapati dua anggota polis lelaki dan wanita tersebut positif dadah jenis methamphethamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, seorang daripada anggota polis yang positif dadah itu mempunyai satu rekod kesalahan lampau pada 2017 di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

Ayob Khan berkata, tangkapan itu susulan ujian saringan JSJN IPD Kota Tinggi terhadap 16 tahanan dari penjara Ulu Choh, Pontian yang ditahan di lokap Balai Polis Kota Tinggi pada 22 November lalu dan mendapati lima tahanan positif methamphethamine.

Beliau berkata, aktiviti pengedaran dadah tersebut dipercayai berlaku sejak awal November lalu dan modus operandi kegiatan itu melibatkan wanita berkenaan yang membawa dadah dari luar.

Menurutnya, anggota polis dibayar antara RM50, RM500 hingga RM1,500 untuk sekali penghantaran mengikut saiz peket yang dibawa masuk.

"Terdapat sebuah sel dalam lokap berkenaan dijadikan port untuk menghisap dadah. Ini tangkapan pertama bagi kes seumpama ini dan mungkin sebelum ini ada berlaku, barang-barang salah dibawa masuk tetapi mungkin tiada tindakan diambil atau dilindungi," katanya.

Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari punca dadah diseludup dalam lokap