PSG masih belum selamat

Marquinhos menjaringkan gol kedua PSG pada perlawanan menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi tadi.
Marquinhos menjaringkan gol kedua PSG pada perlawanan menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi tadi.
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel menyifatkan skuad kendaliannya itu masih belum ‘selamat’ biarpun berjaya menewaskan Manchester United 3-1 pada aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi tadi

Menurut Tuchel, kemenangan berkenaan dilihat hanya membantu mencerahkan peluang skuad kendaliannya itu untuk mara ke saingan kalah mati kelak.

“Hampir layak tidak bermaksud telah layak, ibarat hampir hamil tetapi masih belum hamil. Ia tidak wujud.

“Oleh itu saya tidak akan biarkan tanggapan bahawa segalanya telah selesai.

“Kita perlu terus melangkah ke hadapan dan beraksi dengan mentaliti, semangat dan keazaman yang sama selepas ini,” katanya.

Perlawanan awal pagi tadi menyaksikan PSG membuka jaringan seawal minit ke-6 menerusi penyerang sensasi Neymar, sebelum Marcus Rashford menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-32.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri 1-1, Marquinhos muncul wira apabila menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan PSG pada masa kecederaan.

PSG dan United kini berkongsi sembilan mata bersama kelab Jerman, RB Leipzig yang turut melakarkan kemenangan dengan menewaskan kelab Turki, Istanbul Basaksehir 4-3 di gelanggang lawan.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan berkenan sekali gus menjadikan aksi terakhir peringkat Kumpulan H yang melibatkan aksi PSG dan Istanbul Basaksehir di Parc des Princes termasuk kunjungan United ke Leipzig 9 Disember ini dilihat cukup penting bagi ketiga-tiga pasukan berkenaan kecuali Istanbul Basaksehir yang telah tersingkir apabila hanya mengumpul tiga mata daripada lima perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Presiden PSG, Nasser Al-Khelafi berkata, kemenangan berkenaan secara keseluruhannya sangat membanggakan.

Katanya, kemenangan itu turut memberikan gambaran mengenai ‘kekuatan’ sebenar pasukan berkenaan.

“Kita boleh berbangga kerana kita telah tunjukkan keupayaan sebenar pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dan ia sesuatu yang penting bagi kita.

“Sekarang kita perlu teruskan kerana kita masih belum layak (ke saingan kalah mati),” katanya.