[VIDEO] Kapal angkasa China selesai misi ambil sampel di bulan

Gambar yang dirakamkan dari Pusat Kawalan Aeroangkasa Beijing pada 1 Disember lalu menunjukkan kapal angkasa lepas Chang'e-5 mendarat di bulan. - Foto Xinhua
Gambar yang dirakamkan dari Pusat Kawalan Aeroangkasa Beijing pada 1 Disember lalu menunjukkan kapal angkasa lepas Chang'e-5 mendarat di bulan. - Foto Xinhua
A
A
A

BEIJING - Sebuah kapal angkasa China yang dihantar untuk mengambil sampel-sampel di bulan telah berjaya menyelesaikan misinya dan bersedia untuk kembali ke bumi, kata Beijing hari ini.

Ia merupakan pengambilan sampel yang pertama dibawa pulang ke bumi dalam tempoh empat dekad.

China telah membelanjakan berbilion-bilion dolar melalui program angkasa lepasnya yang dikendalikan oleh pihak tentera dengan harapan untuk mewujudkan sebuah stesen angkasa lepas menjelang tahun 2022.

Negara itu juga berharap mahu menghantar manusia ke bulan.

Kapal angkasa lepas Chang'e-5 yang dinamakan sempena dewi bulan mendarat di bulan pada Selasa lalu dan kini selesai mengambil sampel batu dan tanah, kata Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China (CNSA).

Kapal angkasa itu dijangka mengambil dua kilogram bahan dari sebuah kawasan yang dikenali sebagai Oceanus Procellarum atau Lautan Ribut iaitu sebuah dataran lahar, menurut jurnal sains, Nature.

Para saintis berharap sampel itu akan membantu mereka mendapat maklumat mengenai asal-usul bulan, pembentukannya dan aktiviti gunung berapi di permukaannya.

Media kerajaan berkata sebelum ini bahawa kapal angkasa lepas itu sudah bersedia untuk melakukan tugasannya di bulan.

Artikel Berkaitan:

China merupakan negara ketiga di dunia yang berjaya mengambil sampel dari bulan selepas Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang kini telah dibubarkan.

Kesatuan Soviet kini dikenali sebagai Rusia dan melakukan percubaan untuk mengambil sampel bulan melalui misi Luna 24 pada tahun 1976.

Menurut CNSA hari ini, kapal angkasa itu telah berjaya mengambil sampel pada malam Rabu lalu.

"Pengesanan saintifik dilakukan seperti dirancang," kata agensi angkasa lepas itu tanpa memberikan sebarang maklumat terperinci.

Sampel itu akan dibawa pulang ke bumi menerusi sebuah kapsul yang diprogramkan mendarat di Inner Mobgolia, utara China pada awal bulan ini, menurut agensi angkasa lepas AS, Pentabiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA). - AFP