Kerajaan peruntuk RM100 juta selenggara institusi pendidikan agama

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi tujuan penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan Sekolah Agama Rakyat di bawah Bekalan 11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan di bawah butiran 021300 - Pemberian Kemudahan Projek Khas, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Butiran B11 yang disediakan RM922 juta berdasarkan amalan digunakan untuk membiayai langkah tambahan yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai butiran dan program/aktiviti bawah Bekalan 11, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 dengan sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan Sekolah Agama Rakyat yang diperuntukkan RM100 juta.

“Antara langkah-langkah ucapan belanjawan yang turut dibiayai di bawah peruntukan ini ialah keperluan tambahan RM120 juta bagi penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan untuk pelajar miskin, geran padanan untuk badan bukan kerajaan dan social enterprise sebanyak RM100 juta,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, peruntukan ini terutamanya bagi program peningkatan pendapatan bagi golongan rentan, menangani isu sosial seperti penderaan kanak-kanak dan gelandangan serta pelbagai langkah yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat termasuk perluasan subsidi pengangkutan awam bas, geran untuk taska, pusat aktiviti warga emas serta perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia bergerak bagi pedalaman Sabah dan Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan: