Norma baharu rai Hari OKU

Suhaila (dua dari kanan) menerima Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU 2020.
Suhaila (dua dari kanan) menerima Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU 2020.
A
A
A

PUTRAJAYA - Meskipun sedang menghadapi penularan pandemik Covid-19, sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan hari ini tetap disambut dengan norma baharu.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rosmahwati Ishak berkata, bertemakan ‘Membina Kesejahteraan OKU: Mendepani Perubahan’, empat program utama telah diatur bagi meraikan golongan tersebut sejak November lalu.

“Antara yang telah diadakan adalah Program Tinta Emas Di Kanvas Dunia yang telah berjaya menghasilkan 37 lukisan OKU dan dimuatnaik di laman sesawang JKM untuk tontonan umum,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pengisian sambutan Hari OKU dimulakan dengan perutusan khas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun.

“Ia disiarkan menerusi laman Facebook kementerian Khamis ini (hari ini),” katanya.

Rosmahwati
Rosmahwati

Beliau berkata, JKM turut mengadakan forum norma baharu OKU dengan topik Mendepani Covid-19: Kebiasaan Baharu yang disertai oleh panel dari Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rokiah Mohd; Penolong Pengarah Bahagian Korporat dan Dasar, Majlis Keselamatan Negara, Nurul Hussna A Rahman dan Senator Ras Adiba Radzi.

“Forum ini mengupas kesediaan OKU menghadapi pandemik Covid-19 dengan norma baharu serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rosmahwati berkata, penyampaian Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU dan Majikan Prihatin OKU turut diadakan.

“Anugerah Ibu Bapa Mithali bertujuan untuk memberi penghargaan kepada ibu bapa yang cekal menjaga dan mendidik anak OKU ke arah kesejahteraan dalam masyarakat,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Hari OKU 2020 telah sebulat suara bersetuju memilih Suhaila Abdul Manap dan suaminya, Zulkifly Samsudin sebagai penerima Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU 2020.

“Suhaila yang juga seorang penyelia Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan suaminya pemilik kedai dobi dikurniakan dua orang anak OKU berusia 22 dan 23 tahun yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran celebral palsy dan autisme.

“Pasangan ini terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutama yang berkaitan OKU dan anak OKU mereka iaitu Muhammad Danial Azrai (autisme) telah bergiat aktif dalam pelbagai program, pertandingan sukan, kesenian dan rekreasi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sejak tahun 2010 sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd), AEON Co. (M) Bhd, Uniqlo (Malaysia) Sdn Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Berhad turut dianugerahkan Anugerah Majikan Prihatin (Swasta).

“Anugerah ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada majikan yang memberi sokongan padu dengan menggaji OKU melalui perkhidmatan job coach melebihi satu peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja.

“Selain itu, ia juga untuk menggalakkan majikan agar lebih banyak membuka peluang pekerjaan seterusnya menggaji OKU,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan tema, Rosmahwati berkata, ia bermaksud masyarakat perlu bersama-sama memastikan bahawa negara aksesibel kepada semua pihak termasuk OKU terutamanya dalam menangani isu dan berhadapan dengan Covid-19.

“Kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip inklusiviti dengan memastikan tiada yang terpinggir dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Tambahnya, penularan pandemik Covid-19 telah banyak mengubah amalan seharian di negara.

“Justeru, bagi memastikan OKU juga tidak ketinggalan dalam penerimaan maklumat, komunikasi dan teknologi, kerajaan telah menetapkan agar semua agensi yang menyediakan laman web atau kemudahan-kemudahan lain adalah juga mesra kepada OKU,” katanya.

Rina (empat dari kanan) dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (tiga dari kanan) bersama penerima Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU dan Anugerah Majikan Prihatin OKU Tahun 2020 di Putrajaya semalam.
Rina (empat dari kanan) dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (tiga dari kanan) bersama penerima Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU dan Anugerah Majikan Prihatin OKU Tahun 2020 di Putrajaya semalam.

Sambutan Hari OKU Antarabangsa diperkenalkan pada tahun 1992 menerusi resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu 47/3.

Ia bertujuan untuk menggalakkan hak dan kesejahteraan OKU dalam semua bidang sosial dan pembangunan, serta meningkatkan kesedaran tentang keadaan golongan itu.