Skuad Pantas LUAS pantau 24 jam sumber air Selangor

Pemantauan 24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara. Foto 123RF
Pemantauan 24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara. Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menubuhkan Skuad Pantas bagi memperkasakan lagi Ops Sumber Air Negeri Selangor dan meningkatkan keberkesanan tindakan pencegahan pencemaran yang proaktif.

Luas dalam satu kenyataan semalam memaklumkan penubuhan Skuad Pantas LUAS ini selari dengan peruntukkan Belanjawan Selangor 2021 dalam menangani masalah pencemaran air di negeri ini.

"Objektif utama skuad ini adalah melaksanakan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas loji rawatan air (LRA).

"Pemantauan 24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara," katanya.

Katanya, skuad ini juga merupakan urusetia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor.

"Fasa pertama penubuhan skuad ini diterajui 15 kakitangan dan ditingkatkan sehingga 28 orang yang akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Selangor dan Persekutuan.

"Antaranya melibatkan agensi seperti Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi-agensi lain yang berkaitan," katanya.

Menurutnya, pendekatan operasi Skuad Pantas ini bagi tujuan pencegahan pencemaran adalah melalui beberapa kaedah.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya rondaan 24 jam ke kawasan sensitif dan yang dikenalpasti di lembangan sungai-sungai utama yang membekalkan sumber air kepada muka sauk LRA iaitu Lembangan Sungai Selangor dan Lembangan Sungai Langat.

"Selain itu, pemantauan statik (pensampelan in-situ) dengan kerjasama daripada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) melalui pembekalan kabin dan kemudahan infrastruktur oleh PBT dan pihak Air Selangor," katanya.

Tambahnya, pemantauan statik akan dilaksanakan dengan lebih berkesan di kawasan strategik berisiko yang dikenalpasti.

"Pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga akan dilaksanakan bagi pemantauan status kualiti air seterusnya perancangan meningkatkan lagi tahap kualiti sumber air sungai-sungai utama negeri.

"Kerajaan Selangor melalui LUAS sentiasa komited dalam memastikan insiden pencemaran dapat ditangani dengan segera agar LRA beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat dielakkan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan.