Contohi gerak kerja Pas Terengganu

A
A
A

KURANG bermain politik, sibuk bekerja untuk rakyat – begitulah pandangan umum terhadap kerajaan negeri Terengganu yang diterajui Pas sejak Mei 2018 yang lalu. Ramai yang kurang sedar bahawa dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 85 peratus atau 17 daripada 20 manifesto mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah dan sedang dilaksanakan.

Terbaru apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan dua lagi manifesto yang akan dilaksanakan pada tahun 2021 iaitu Pencen Rakyat sebanyak RM600 setahun dan juga Tabung Perumahan Rakyat Terengganu sebanyak RM50 juta.

Pencapaian Pas Terengganu pada minggu ini tidak sekadar terhenti dengan pembentangan Belanjawan 2021. Pada 26 November 2020, TDM Berhad iaitu anak syarikat kerajaan negeri Terengganu telah disenarai kembali sebagai sekuriti patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia selepas dikeluarkan pada tahun 2015.

Kebetulan pula, sehari sebelumnya iaitu pada 25 November, TDM Bhd mengumumkan keuntungan untuk suku ketiga 2020 berbanding suku ketiga 2019 telah meningkat sebanyak lebih daripada 100 peratus dengan jumlah RM27.7 juta.

Sesungguhnya, dalam keadaan iklim politik kita yang bergolak hari ini – ditambah pula dengan krisis pandemik Covid-19 – kita amat memerlukan seluruh ahli politik di setiap peringkat untuk fokus bekerja dan kurang bermain politik sepertimana kerajaan Pas Terengganu hari ini.

Sama seperti pasukan kebajikan Jabatan Amal Pas yang kurang berpolitik dan sibuk bekerja dalam segenap lapangan rakyat marhaen, begitu juga dengan penampilan para pemimpin teknokrat dan agamawan Pas Terengganu.

Untuk rekod, Pas selaku parti yang sinonim dengan imej lebai ini mengejutkan banyak pihak sewaktu PRU14 dua tahun lalu apabila membariskan gabungan calon berlatar belakang agama dan juga profesional – antara yang paling menonjol tentunya Dr Samsuri - yang lebih mesra disapa rakyat Terengganu sebagai ‘Dr Sam’.

Dengan latar belakang PhD dari University of Leeds (UK), Dr Sam diperkuat barisan Exco serta Timbalan Exco yang turut disertai ramai teknokrat serta agamawan Pas lain yang berwibawa antaranya Dr Azman Ibrahim (berkelulusan pergigian dari Iraq), Dr Alias Razak, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, Dr Mamad Puteh, Ir Saiful Azmi Suhaili, Mohd Nor Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Malah, Pas Terengganu hari ini turut dianggotai dua anak lelaki ulama terkenal tanah air iaitu Muhammad Khalil Abdul Hadi dan juga Hilmi Harun.

Pencapaian

Dari segi pengurusan sukan pula Pas Terengganu tidak kurang hebatnya; pasukan bola sepak Terengganu FC yang dikemudi Menteri Besar serta Hishamuddin Abdul Karim (ADUN Tepuh) berjaya layak ke Piala AFC 2021 susulan kejayaan menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini. Tiada sama sekali isu gaji tidak terbayar ataupun kebajikan pemain terabai.

Tentunya, pencapaian sebegini dapat dilihat dan dirasakan secara langsung oleh rakyat Terengganu. Namun, ada kisah terkini yang membuktikan kesungguhan MB Terengganu bekerja: pada 1 November lepas, Dr Sam telah menjalani satu pembedahan lutut.

Namun tidak lama selepas pembedahan tersebut, beliau terus mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negeri dan Pengarah Kesihatan Negeri bagi memantau perkembangan pandemik Covid19 di Terengganu.

Walaupun dinasihati untuk berehat selama enam minggu, namun pada minggu kedua iaitu 15 November beliau telah bertolak ke Putrajaya untuk bertemu dengan Perdana Menteri – semata-mata demi memohon agar PKPB di Terengganu ditamatkan lebih awal untuk membolehkan rakyat Terengganu berniaga dan bekerja (dalam keadaan jumlah kes di Terengganu yang cukup terkawal).

Pada 21 November PKPB ditamatkan, 23 November pula Dr Sam bertongkat ke Sidang DUN Terengganu demi membentangkan Belanjawan Terengganu 2021. Ternyata iltizam yang cukup tinggi ini mencerminkan bagaimana Pas Terengganu berhasil mencapai segala perkembangan dalam tempoh pentadbiran sejak tahun 2018.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda