DUN Negeri Sembilan lulus Belanjawan 2021

Antara laporan Sinar Harian berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Sembilan.
Antara laporan Sinar Harian berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2021 bagi membolehkan pentadbiran negeri dan agenda pembangunan dapat diteruskan kerajaan negeri.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan 2021) Negeri Sembilan yang memperuntukkan sejumlah RM560 juta telah dibahaskan selama tiga hari bermula 30 November lepas membabitkan 35 Ahli DUN di pihak kerajaan dan pembangkang.

Belanjawan 2021 Negeri Sembilan merupakan belanjawan defisit sebanyak RM112 juta berikutan peruntukan sebanyak RM560 juta melebihi anggaran hasil sebanyak RM448 juta pada tahun tersebut.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika menggulung perbahasan berkata, kerajaan berjaya meningkatkan kedudukan rizab daripada RM687.77 juta pada 2018 kepada RM1.002 bilion pada 2020.

“Ini bermakna kerajaan berjaya mengumpul rizab negeri sebanyak RM315 juta dalam tempoh dua tahun (2018-2020),” katanya pada sesi penggulungan perbahasan RUU itu yang dilakukan bersekali dengan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja di sini.

Pada Jumaat lepas, Aminuddin membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Merangsang Ekonomi dan Memperkasa Rakyat’ dengan peruntukan sebanyak RM560 juta, sekali gus menjadikannya belanjawan terbesar dibentangkan dalam sejarah Negeri Sembilan.

Mengenai anggaran pembangunan Negeri Sembilan tahun 2021 yang berjumlah RM153 juta, Aminuddin berkata, ia merupakan strategi kerajaan sebagai dasar pemulihan.

“Ia akan memberi kesan berganda kepada sektor ekonomi dan akan membantu sekurang-kurangnya 12 sektor rantaian industri pembinaan seperti simen, pasir, batu, besi, cat, mesin, peralatan dan jentera.

Artikel Berkaitan:

“Ini pastinya membuka banyak peluang pekerjaan dan merancakkan aliran tunai domestik,” katanya dan menganggarkan input pembangunan berjumlah RM153 juta dijangka akan menghasilkan output sebanyak RM310.59 juta.

Mengenai peruntukan kepada Pejabat Menteri Besar daripada RM10 juta pada tahun ini kepada RM30 juta tahun depan, Aminuddin berkata, pertambahan peruntukan itu berikutan kenaikan emolumen gaji tahunan penjawat awam, peningkatan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso.

Selain itu, katanya kenaikan Bantuan Sara Hidup (COLA) susulan status naik taraf majlis daerah dan majlis perbandaran kepada majlis perbandaran dan majlis bandaraya di Jempol dan Seremban.

Aminuddin berkata, atas nasihat Pejabat Kewangan Negeri, peruntukan di bawah perintah mahkamah, yang turut termasuk dalam peruntukan di bawah Pejabat Menteri Besar turut menyaksikan kenaikan daripada RM1 juta kepada RM8 juta berikutan terdapat 11 kes lama yang belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Pada tahun lepas, Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2020 yang bertemakan ‘Melestari Ekonomi dan Mensejahtera Rakyat’ dengan peruntukan sebanyak RM507 juta.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kesemua barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk memotong sebanyak 10 peratus gaji bagi tempoh enam bulan pada tahun depan bermula Januari untuk disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Sembilan.

Pada persidangan itu juga, turut diluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja dan persidangan akan bersambung semula esok. - Bernama