Pas Johor bidas Wan Saiful

 Abdullah Husin
Abdullah Husin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerjasama antara Pas dan Umno adalah berlandaskan satu perjuangan iaitu memartabatkan semula agama Islam dan Melayu di negara ini.

Bagaimanapun, agenda memecah belah kaum atau mengacau keharmonian sedia ada bukanlah tuntutan dimahukan kedua-dua parti untuk kelangsungan negara di masa hadapan.

Kenyataan itu ditegaskan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin yang menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengenai gabungan Umno-Pas merbahaya kepada negara.

Beliau berkata, sebenarnya, usaha antara kedua-dua pihak itu juga adalah bukti kesedaran baharu rakyat negara ini selepas melihat apa yang terjadi dalam pemerintahan kerajaan PH.

“Kita melihat corak pemerintahan baru ini terlalu rapuh dalam mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan yang sepatutnya dihormati. Semuanya semakin terhakis, ketuanan Melayu, malah kedaulatan Raja-Raja juga dipertikaikan.

“Apa yang kita mahu buat adalah mengorak langkah baru, untuk membawa perubahan kepada rakyat di masa akan datang, paling tidak ada semak dan imbang yang kuat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Abdullah berkata, Bersatu yang juga komponen dalam kerajaan kini juga tidak layak untuk menentukan apa terbaik terutama mengenai perancangan dan strategi pembangkang.

“Jangan menghasut mengenai perkara yang tidak wajar, ia hanya mengelirukan rakyat. Jika benar ada kerjasama antara Pas dan Umno itu hanya akan beri kesan positif pada masa akan datang. Kita ambil iktibar daripada apa yang berlaku. Tak dinafikan pengalaman menjadikan sesuatu itu mudah dan lebih berkesan, dalam aspek ini,

Artikel Berkaitan:

“Umno adalah relevan kerana pengalaman mereka dalam pentadbiran. Macam sekarang kelompok dalam parti itu juga sudah menjalani proses pembersihan. Kita di Pas pula, mempunyai perancangan menjadikan negara lebih baik, dengan dokongan itu adakah ia membawa mudarat?,” katanya.

Sebelum ini, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan sentimen agama dan perkauman yang dibawa oleh kedua parti itu bukan langkah yang baik untuk Malaysia akan datang.

Malah katanya, gabungan kedua-dua parti orang Melayu itu akan membawa agenda tidak sihat di dalam negara sekali gus menafikan hak bahawa Malaysia adalah untuk dikongsi oleh pelbagai kaum.