X

Kindly register in order to view this article
!

Rayuan kes SRC International: Najib kemukakan 307 alasan

SRC International
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan 307 alasan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Antara alasan petisyen rayuan tersebut, Najib mendakwa dia gagal mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama kerana kekhilafan hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan tindakan pihak pendakwaan yang telah menafikan hak dia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib ketika dihubungi hari ini mengesahkan petisyen rayuan merangkumi 307 alasan itu difailkan pada 19 Oktober lalu.

Pada 28 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan membabitkan perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa dalam kes tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Dalam petisyen itu, Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa hakim bicara terkhilaf dalam dapatan beliau semasa memutuskan untuk memanggil dia membela diri dan mendapati dia bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Najib juga mendakwa Mohd Nazlan terkhilaf dalam fakta dan undang-undang apabila membuat dapatan bahawa keseluruhan keterangan menunjukkan bahawa kemasukan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun-akaun banknya dilakukan oleh Nik Faisal Ariff Kamil, bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif SRC International dan ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low berdasarkan arahannya.

Dia mendakwa hakim bicara terkhilaf apabila menolak pembelaannya bahawa Jho Low mempunyai motif untuk memastikan wang yang mencukupi dalam akaun perayu (Najib) dan Jho Low memperdaya tertuduh berhubung pemindahan wang tersebut.

"Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam fakta dan undang-undang apabila membuat dapatan bahawa pembelaan mengenai sumbangan dari negara Arab Saudi tidak boleh diterima," katannya.

Rayuan tersebut untuk pengurusan kes ditetapkan pada 23 Disember ini.

Najib juga mendakwa Mohd Nazlan terkhilaf membuat dapatan pengetahuan dia (Najib) bahawa RM42 juta tersebut adalah hasil kegiatan menyalahi undang-undang.

Dia juga mendakwa hakim bicara gagal memberikan pertimbangan sewajarnya kepada keterangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkefli Ahmad bahawa siasatan dijalankan mereka tidak menunjukkan pembabitan perayu bagi kesalahan dipertuduhkan.

Najib juga mendakwa hakim bicara terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa dia (Najib) adalah buta sengaja.

Selain itu, menurut perayu, Mohd Nazlan gagal memberi berat yang wajar kepada keterangan dan bukti yang memberi inferens bahawa perayu tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan peralihan dana ke dalam akaun miliknya yang asalnya datang daripada SRC International.

"Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana terkhilaf dalam fakta dan undang-undang apabila menolak pembelaan perayu (Najib) bahawa pada masa material, dana di dalam akaun-akaun perayu dianggap sumbangan dari Raja Saudi dan perayu tidak berpengetahuan tentang dana RM42 juta tersebut berasal daripada akaun SRC," kata Najib.

Pada 1 Oktober lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam menetapkan 12 hari bermula 15 hingga 18 Februari, 22 hingga 25 Februari dan 1 hingga 4 Mac depan untuk pendengaran rayuan berkenaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!