Qatar Airways sedia rancakkan kembali pelancongan Langkawi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Hasrat Qatar Airways mahu membawa pelancong dari 190 negara kategori hijau Covid-19 ke Langkawi melalui Program Gelembung Pelancongan (Bubble Tourism) bakal merancakkan kembali industri pelancongan di pulau legenda tersebut.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat penerbangan tersebut bersedia membentuk sistem untuk membuat saringan kepada pelancong sebelum mereka bertolak terus ke Langkawi.

Menurutnya, Qatar Airways akan menyusun perjalanan, tempoh dan tempat tinggal kepada pelancong sepanjang mereka berada di pulau tersebut.

"Selalunya pelancong antarabangsa akan tinggal sehingga 21 hari dan perbelanjaan mereka di sini akan lebih daripada pelancong tempatan. Sudah tentu ia dapat kembali membantu industri pelancongan Langkawi yang malap akibat Covid-19.

"Saya telah membawa perkara ini kepada perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau pada dasarnya bersetuju dengan cadangan berkenaan. Perdana Menteri minta kita meneliti polisi semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelancongan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, syarikat tersebut bersedia untuk membuat lima penerbangan seminggu ke Langkawi jika program tersebut mendapat lampu hijau.

Menurutnya, beliau percaya perkara tersebut tidak akan mengambil masa lama kerana sebahagian negara hijau Covid-19 sudah bersedia membenarkan rakyatnya untuk keluar dari negara masing-masing dan datang ke Langkawi.

"Syarikat penerbangan ini juga memerlukan tempoh kira-kira sebulan untuk membuat promosi menjual pakej-pakej pelancongan yang disediakan di Langkawi," katanya.

Artikel Berkaitan: